Thursday 19 December 2013

KDN GANTUNG SERTA MERTA AKHBAR MINGGUAN THE HEAT

heat

Akhbar mingguan The Heat digantung serta-merta oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipercayai disebabkan artikel muka hadapan berhubung perbelanjaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Akhbar mingguan tersebut diberikan surat tunjuk sebab minggu lepas dan Ketua Pengarang David Lee Boon Siew turut dipanggil KDN ke Putrajaya dan diminta untuk melembutkan berita mereka.
The Malaysian Insider difahamkan, walaupun KDN tidak menyatakan secara spesifik berhubung mana-mana artikel, dipercayai ianya disebabkan oleh ertikel bertajuk “All eyes on big spending Najib” yang diterbitkan dalam isu 23-29 November.
Dipercayai, penerbitnya HCK Media diberikan masa 14 hari untuk memberikan jawapan.
Sumber yang rapat dengan penerbitan itu mengesahkan akhbar mingguan berbahasa Inggeris mengenai isu-isu sosial dan politik itu digantung.
Bagaimanapun Pengarang Kanan HCK Media Chong Cheng Hai enggan mengulas apabila dihubungi.
Minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan dakwaan panggilan telefon Pejabat Perdana Menteri kepada Astro Awani Online berhubung laporan berita memetik tulisan blog bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin yang mencadangkan Rosmah dilantik menjadi menteri.
Laporan itu dikeluarkan pada Isnin, sehari selepas ianya diterbitkan.
Apabila dihubungi, Kadir mengatakan beliau tidak mendengar mengenai arahan sedemikian.
Rosmah dikritik hebat oleh Ahli Parlimen pembangkang kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan bulan lalu untuk menyertai persidangan wanita di Qatar di atas kapasiti peribadinya.
Kali terakhir akhbar berbahasa Inggeris digantung penerbitannya adalah akhbar The Star selepas Operasi Lalang pada tahun 1987 yang menyaksikan perdana menteri pada ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan lebih 100 orang ahli politik dan aktivis.
Akhbar The Star beroperasi semula pada April 1988.

No comments: