Friday 1 November 2013

NIAT NAK BUANG KUCING, DITUDUH PECAHKAN CERMIN KERETA....


KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang remaja untuk membuang kucing terbantut apabila terpaksa menyelamatkan diri selepas diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau lipat, di tepi jalan di Kampung Panji Alam, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, 15, diserang suspek dikenali berusia 18 tahun itu selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakannya yang kononnya telah memecahkan cermin kereta milik suspek, sebelum ini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang baru sahaja memberhentikan motosikal ditungganginya di tepi jalan dengan ditemani seorang rakannya untuk membuang kucing, telah dihampiri suspek secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun, hasrat mangsa untuk membuang kucing di lokasi itu terbantut apabila dikejutkan dengan kehadiran suspek yang telah bertindak memberhentikan motosikal Honda EX5 ditungganginya, di sebelah mangsa.

“Sebaik memberhentikan motosikal di sebelahnya, suspek terus memegang kunci motosikal mangsa sementara sebelah lagi tangannya memegang sebilah pisau lipat yang diselitkan di pinggangnya,” katanya, semalam.

Jelas sumber, mangsa tidak berani melawan selepas melihat pisau lipat milik suspek, sebelum segera melarikan diri meninggalkan motosikalnya kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

“Difahamkan, suspek bertindak sedemikian selepas berlaku sedikit salah faham berhubung kerosakan cermin kereta miliknya dengan mendakwa mangsa adalah individu yang bertanggungjawab di sebalik kerosakan itu.

“Sebelum ini, mangsa pernah menerima ugutan daripada seorang lelaki yang menuntutnya membayar ganti rugi kerosakan cermin kereta akibat terkena batu,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian. SH

No comments: