Friday 20 September 2013

POLIS GENGSTER ROMPAK LORI TRELER

SHAH ALAM - Seorang anggota polis dan seorang pemandu lori hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak sebuah lori treler yang membawa kontena bermuatan 57,072 tin minuman keras di Seksyen 15 di sini minggu lalu.

M. Manogaran, 45, dan Koperal S.Ramunaidu, 53, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah lori treler jenis Volvo FM12 bernombor pendaftaran BLQ 3661 berserta kontena bermuatan minuman keras itu di hadapan Stesen Minyak Petronas, KM12.3, Lebuhraya Persekutuan arah Klang, Seksyen 15, kira-kira pukul 11.30 malam pada 11 Sept lepas.
Kedua-dua tertuduh yang ditangkap sehari selepas kejadian didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd Rahim yang mengendalikan pendakwaan membantah jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan mereka serius.
Bagaimanapun, peguam Gerard Lazarus yang mewakili Manogaran dan Ramunaidu memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas alasan mereka merupakan penyara tunggal keluarga masing-masing.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments: