Wednesday 14 August 2013

POLIS KEPUNG 2 LELAKI BERKERETA MEWAH DI PLAZA TOL

Hiasan
Alor Gajah : Bagaikan adegan filem aksi apabila tiga kereta peronda polis (MPV) mengepung dua lelaki yang berada di dalam sebuah kereta mewah dan diarah meniarap atas jalan di Plaza Tol Ayer Keroh, dekat sini, awal pagi semalam.

Ia berikutan kedua-dua suspek berusia 30-an yang ditahan kira-kira jam 2.15 pagi itu diekori polis selepas didakwa melepaskan tembakan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan, 45 minit sebelumnya.
Hasil pemeriksaan awal bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata api di dalam kereta terbabit sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, sebuah kereta BMW berwarna putih dikesan dalam keadaan mencurigakan berlegar di sekitar bandar Seremban, kira-kira jam 1.30 pagi. Sumber berkata, kereta bercermin gelap dinaiki dua lelaki itu berlegar selepas dikatakan melepaskan tembakan rambang di sekitar pusat bandar terbabit.
“Bertindak atas maklumat itu, dua kereta MPV yang sedang melakukan rondaan mengekori kereta berkenaan yang dikesan menuju ke arah Port Dickson.
“Dua kenderaan polis berkenaan mengekori dalam jarak 300 meter kerana tidak mahu disedari suspek,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, pada waktu itu, sebuah MPV dari Unit Alor Gajah turut memasuki Lebuhraya Utara-Selatan untuk memberi bantuan bagi mengawasi pergerakan kereta yang disyaki.
“Setibanya di lokasi kejadian, dua MPV lain dari IPD Melaka Tengah bersiap sedia menunggu di pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh bagi menghalang kemasukan kereta suspek.
“Kereta suspek berhenti secara tiba-tiba berhampiran plaza tol itu dan mereka mendiamkan diri dalam kereta sebelum dikepung empat kereta peronda polis dan diarah keluar,” katanya.
Kata sumber itu, kedua-dua suspek kemudian digari dan ditahan bersama kereta BMW berkenaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi berkata, kes berkenaan dirujuk ke IPD Seremban. - SH

No comments: