Sunday 28 July 2013

PENYALAHGUNAAN INTERNET SEMAKIN KRITIKAL DI MALAYSIA....???

internet2xx

Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak akan teragak-agak untuk mengkaji semula kemudahan dan akses Internet di Malaysia berikutan penyalahgunaannya di negara ini menghampiri tahap kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bagi mengelak sebarang kekeliruan yang timbul akibat penggunaan Internet yang tidak betul.
"Saya lihat kebebasan yang diberi (disalah guna dan kini) sudah semakin kritikal. Sudah tiba masanya kita tegas dan tanganinya dengan cara serius," katanya selepas menghadiri majlis Tamu Ramadan bersama 261 imam, bilal dan pengerusi masjid di dewan Majlis Perbandaran Kemaman, Sabtu.
Bernama melaporkan beliau berkata penyebaran fitnah atau sesuatu yang tidak betul menerusi Internet perlu dibendung dari awal sebelum menjadi lebih buruk.
Antara penyalahgunaan berkenaan ialah penyebaran gambar yang mengaibkan seseorang dan penipuan melibatkan wang ringgit.
Terbaharu ialah penyebaran dakwaan bahawa terdapat gelombang kedua pencerobohan Suluk ke Sabah dan penghinaan terhadap Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, timbalan menteri Datuk Jailani Johari berkata kementerian itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluas program 'Klik dengan Bijak' ke seluruh negara.
Beliau berkata tujuannya ialah bagi menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya kesan dan akibat jika tersalah klik ketika menggunakan kemudahan Internet.
Katanya, kesilapan menekan butang klik ketika mengakses Internet boleh memberi kesan buruk kepada pengguna itu sendiri.
"Seperti yang kita tahu, banyak kes dilaporkan membabitkan penggunaan blog, Facebook jadi kita tekankan program ini yang telah memasuki tahun kedua bagi mendidik para pengguna," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau penggunaan Internet boleh diibaratkan seperti pisau untuk memotong sayur atau daging dan menerusi Internet juga ia mampu membuat kesalahan dan kejahatan diri sendiri.
Jailani berkata program yang diperkenalkan SKMM ini merupakan startegi untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat supaya berhati-hati ketika menggunakan Internet.
Beliau berkata setakat ini, lima negeri telah diperkenalkan dengan program tersebut iaitu Pulau Pinang, Sabah, Terengganu dan Johor.
"Sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan menggalakkan dan memberi kesan positif kepada masyarakat ketika mengakses Internet di laman sesawang seperti blog mahupun Facebook," katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar menggelak dan mengawal diri daripada mengakses Internet yang tidak bersesuaikan dengan budaya Malaysia.
"Pengguna yang mengakses internet dalam setiap portal perlu berhati-hati dengan sentuhan yang kita klik. Kita perlu bertanggung jawab dan fikirlah dahulu sebelum klik sesuatu, ketika melayari Internet," katanya. AD

No comments: