Monday 29 July 2013

PAS PECAT AHLI IKUT SYIAH...? CAKAP JE KUT.....!!!



Pas perlu memecat ahlinya yang berfahaman Syiah tanpa mengira jawatan yang disandang dalam parti seperti yang pernah dilaksanakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor semasa menjadi Presiden parti itu.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Mazlan Ismail berkata, tindakan tegas sedemikian wajar bagi membersihkan parti daripada penularan fahaman Syiah.

Selain itu tegasnya, Pas juga perlu memperjelaskan pendiriannya berhubung isu berkenaan.

"Kalau terus berdiam diri tanpa sebarang pendirian, seolah-olah Pas meredai fahaman Syiah.

"Kalau dahulu pada zaman Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor, beliau mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang terlibat dengan memecat mereka tanpa mengira apa jawatan yang disandang dalam parti,'' katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah Ihya Ramadan di Darul Wehdah di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, Pas perlu kembali bertegas dalam hal tersebut demi membersihkan parti daripada penularan fahaman dan pengikut Syiah.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan dua pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan fahaman Syiah di negara ini.

Mazlan menambah, langkah memerangi fahaman Syiah adalah penting bagi menjamin akidah dan perpaduan umat Islam di negara ini tidak terpesong.

Katanya, beliau amat menghormati tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang mendahului untuk mewartakan Syiah sebagai fahaman sesat.

Pada perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, isu Syiah dalam Pas akan dibangkitkan setiap dua tahun sekali iaitu apabila tiba waktu pemilihan parti sebagai 'modal' untuk menjatuhkan pemimpin tertentu yang dikatakan mengamalkan fahaman berkenaan.

Jelasnya, keadaan tersebut berlaku sejak beliau masih dalam Pergerakan Pemuda Pas iaitu sebelum tahun 2000.

"Dari zaman saya dalam Pemuda, isu Syiah telah dibangkitkan dan masalah berkaitan fahaman ini dalam kalangan ahli Pas juga telah lama wujud.

"Isu ini biasanya senyap seketika tetapi setiap dua tahun sekali apabila tiba waktu pemilihan akan kembali berbunyi dan dimainkan pihak-pihak tertentu dalam usaha menjatuhkan beberapa pemimpin yang sering dikaitkan dengan fahaman tersebut," ujarnya.

No comments: