Friday 19 July 2013

LAGI.... GURU MAUT DITEMBAK LELAKI BERMOTOSIKAL...

Shanmugam-maut-ditembak

Kerjaya guru dipandang mulia oleh masyarakat kerana tugasnya mendidik anak bangsa bermula dari peringkat rendah hingga menengah, membolehkan mereka mencorak langkah anak murid menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tetapi, hari ini, kerjaya guru mungkin 'lebih bahaya' jika dibandingkan dengan pelumba F1 yang memecut laju di litar perlumbaan!
Adakah kerjaya guru kini sudah 'tidak selamat' lagi di negara ini? Jika ada ibubapa atau murid-murid yang tidak berpuashati dengan sesetengah tindakan guru, paling sadis pun guru tersebut setakat dibelasah, kereta dicalarkan atau tayar kereta dicabut!!

Dalam tempoh tidak sampai sebulan, 2 kejadian guru ditembak maut oleh penunggang motosikal telah menggemparkan seluruh negara. Kejadian pertama adalah minggu lepas apabila seorang guru di Kelantan telah ditembak oleh 2 orang bermotosikal  ketika keluar dari perkarangan sekolah dan guru tersebut maut ditempat kejadian.

SEMALAM, kejadian yang sama berulang lagi....

KULIM: Seorang guru maut dipercayai ditembak dua lelaki yang bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi di sini tengah hari Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata K.Shanmugam, 45, didapati dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta Toyota Wish miliknya.
Kejadian berlaku kira-kira 12.25 tengah hari tadi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.
Beliau berkata dua lelaki tersebut dikatakan telah mengikuti kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan.
“Salah seorang dari suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai kepala dan badan mangsa. Ini mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta di hadapan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek kemudiannya memecut motosikal mereka.
Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol automatik dan polis turut menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.
“Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa. Buat masa ini kita belum dapat kenal pasti punca sebenar kejadian,” kata Mohd Nashir.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim.
Seorang pemandu Mat Lin Saad, 62, berkata beliau sedang memandu di hadapan kereta mangsa dan apabila tiba di simpang lampu isyarat tersebut, beliau terdengar bunyi letupan seperti mercun.
“Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi kereta saya dilanggar dari belakang. Saya turun dari kereta saya untuk melihatnya dan mendapati orang ramai sudah mengerumun kereta di belakang saya. Saya turut melihat mangsa yang berlumuran darah meronta-ronta sebelum tidak lagi bergerak,” katanya.
Zulkiffli Itam, 45, pula berkata beliau yang berada di jalan yang bertentangan ternampak dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta mangsa.
“Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal itu terus memecut motosikal mereka ke arah Taman Selasih,” katanya.

Shanmugam-maut-ditembak-2

No comments: