Tuesday 30 July 2013

HARAM TETAP HARAM : JAWI PUTUSKAN TIADA PESERTA GADIS ISLAM DI MISS MALAYSIA WORLD 2013....


Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini memberitahu larangan ke atas empat gadis beragama Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik adalah kekal dan tidak akan dipertimbangkan.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata keputusan itu diambil setelah JAWI membuat kajian semula terhadap fatwa yang berkaitan dengan agama Islam berdasarkan undang-undang.

Che Mat berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada penganjur Miss Malaysia World, Datuk Anna Lim.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, fatwa yang diwartakan pada 1996 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan  itu jelas menyebut penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa, walaupun tidak memperaga baju mandi (bikini).

Pembatalan penyertaan empat wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik itu menimbulkan polemik dengan keputusan muktamad sama ada pihak terbabit akan dikenakan tindakan kerana menolak fatwa itu, akan diketahui minggu depan. 
Fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 itu memutuskan, menyertai, menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa untuk pertandingan ratu cantik haram dan berdosa bagi orang Islam.

Jamil Khir berkata, pihak yang menyangkal fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina Islam iaitu penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Hanya kepada orang Islam

Diajukan soalan mengenai tindakan penganjur yang seolah-olah memudahkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan itu dengan tidak meletakkan memperaga baju mandi, syarat, Jamil Khir berkata, undang-undang syariah hanya untuk orang Islam dan orang bukan Islam tidak tertakluk kepada fatwa berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui mengenai kepelbagaian yang cuba diterapkan untuk mengheret orang Islam dan kerana itu mereka perlu berpakat dalam soal ini bagi memastikan kepentingan agama dan umat Islam tidak dicabar.

Mengenai gesaan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) supaya kerajaan mewujudkan Enakmen Jenayah Syariah berhubung penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik, Jamil Khir berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai cadangan itu.

Ditanya adakah fatwa mengharamkan penyertaan ratu cantik itu boleh dikaji semula, menteri agama itu berkata, “ia bergantung kepada keperluan”.

 Bagaimanapun, Datuk Anna Lim berkata pihaknya menerima baik keputusan itu dan masih berharap ianya boleh dipertimbangkan semula.

"Keempat-empat gadis berkenaan kecewa, tertekan dan sedih," kata Lim.

"Peserta-peserta lain gembira dan ceria. Mereka sudah pun memulakan program Miss Malaysia World," tambahnya.

"Sedih bila mendapat tahu bahawa keempat-empat mereka tidak dapat menyertai pertandingan ini. Mereka cantik dan mempunyai banyak ciri yang berpotensi. Mereka mempunyai peluang untuk menjadi duta bagi negara kita," kata Lim.

"Saya berharap mereka dapat mempertimbangkannya semula sekiranya terdapat kemungkinan terdapat sebarang perkara yang boleh dilakukan," kata Lim.

Lim berkata, finalis yang digugurkan daripada program Miss Malaysia World itu bagaimanapun dijemput sebagai tetamu bagi acara berkenaan. 

No comments: