Wednesday 3 April 2013

PAS BELI PELAJAR PONDOK UNTUK U-TURN....



KOTA BHARU 3 April - UMNO Pasir Mas mendakwa pemimpin Pas telah 'membeli' beberapa pelajar Pondok Tal Tujuh di sini sehingga pelajar-pelajar tersebut yang baru menyerahkan borang keahlian UMNO pada Isnin lalu menafikan kembali tindakan mereka.


Ketua UMNO Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat berkata, tindakan terdesak Pas itu adalah untuk menutup kelemahan mereka yang gagal memerintah negeri ini sehingga ramai guru dan pelajar pondok bertindak keluar daripada parti itu.

Jelas beliau, penafian yang dilakukan salah seorang pelajar pondok itu, Mohd. Hafni Zaini, 24, melalui sebuah laman blog pro pembangkang adalah satu rancangan jahat Pas untuk menarik kembali sokongan pelajar pondok terhadap parti itu.

"Saya kasihan dengan budak ini (Mohd. Hafni). Dia seorang yang juruh (baik) dan selalu bersama kami dalam program keagamaan seperti berzanji dan pelbagai lagi sehingga kami menawarkan untuk dia menyertai UMNO lalu dia pun menerimanya.

"Tetapi hari ini saya terkejut apabila pelajar ini tiba-tiba menafikan benda itu sedangkan jelas pada malam itu dia sendiri bersama rakannya menyerahkan borang keahlian di depan hampir seribu orang, malah wartawan sendiri membuat temubual dengannya termasuk media televisyen.

"Jadi bagi saya sangat jelas ini adalah rancangan jahat Pas dalam menuduh UMNO, dan mereka juga mendakwa saya ada menjanjikan sesuatu kepada budak itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hanapi diminta mengulas entri blog tersebut bertajuk Pelajar Pondok Kantoikan Utusan Malaysia yang memaparkan keratan laporan di akhbar tersebut, dan disertakan dengan penafian pelajar berkenaan.

Mohd. Hafni turut membuat satu rakaman video dalam penafiannya itu dan menuduh Utusan Malaysia telah mengeluarkan berita fitnah terhadapnya yang disiarkan pada hari Selasa bertajuk 70 Pelajar Pondok Tal Tujuh Keluar Pas.

Penafian Mohd. Hafni amat mengejutkan kerana pada Isnin lalu, pelajar tersebut sendiri hadir ke program UMNO Pasir Mas di Tendong kira-kira pukul 10 malam bersama isterinya yang memakai purdah serta seorang rakannya, Zaidi Shafie, 28, yang turut menyerahkan borang keahlian UMNO.

Sebelum menyerahkan borang tersebut, Mohd. Hafni diberi peluang berucap kira-kira lima minit dan ketika itu dia menyatakan kerelaannya menyokong UMNO kerana percaya hanya UMNO yang mampu membantu golongan sepertinya selain mendakwa dia mewakili 70 rakannya yang lain.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang dilakukan selepas itu, pelajar berkenaan turut menyatakan sokongannya kepada UMNO dan berharap rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri wartawan Berita Harian, Harian Metro, TV3, Astro Awani dan RTM dan rakaman video penuh mengenai pengakuan Mohd. Hafni ada dalam simpanan pihak media. - 
 RODELIO JUNJUN TAUCAN (UM)

No comments: