Sunday 10 March 2013

OPS DAULAT : BUDAK LELAKI 12 TAHUN TERKORBAN


Seorang remaja lelaki yang tidak dikenali ditembak mati manakala seorang lelaki dewasa cedera di bahagian kakinya apabila anggota keselamatan Malaysia menembak sebuah belukar di Kampung Sungai Bilis pagi ini, dalam operasi Ops Daulat yang masuk hari keenam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian itu berlaku semasa polis menahan lima orang yang tiba-tiba muncul di kawasan itu.


“Pada pukul 9.45pagi hari ini, pasukan keselamatan kita bergerak ke kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis. Tiba-tiba, muncul satu kumpulan manusia dari kawasan belukar.

“Kumpulan itu terdiri daripada dua orang lelaki dan tiga orang perempuan. Kita tangkap mereka dengan segera.

“Ketika pemeriksaan ke atas mereka, tiba-tiba kedengaran bunyi pergerakan di belukar berhampiran. Secara spontan, pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan.

“Kami menemui seorang budak lelaki dalam lingkungan usia 12 ke 15 tahun telah meninggal dunia dan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30an terkena tembakan di kaki,” kata beliau semasa satu sidang media di Felda Sahabat 16.

Ismail berkata kesemua yang ditahan, lelaki yang cedera serta mayat remaja lelaki itu telah dibawa keluar dari kawasan kejadian.

“Kami tidak pasti tentang identiti mereka. Mereka tiada sebarang dokumen. Kita sedang menjalankan siasatan pada ketika ini tentang asal usul mereka dan apa mereka buat di situ,” tambahnya lagi.

Ismail berkata mereka disiasat dibawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Polis telah berkali-kali mengingatkan orangramai supaya jangan masuk ke kawasan Ops Daulat yang meliputi sekitar Kampong Tanduo hingga Tanjong Batu di Lahad Datu.

No comments: