Monday 23 January 2012

ANWAR TETAP MAHU PINDA......


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu undang-undang kononnya digunakan untuk mengaibkan seseorang dipinda termasuk peruntukan dalam Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.
Pendirian itu dinyatakannya dengan alasan bahawa undang-undang sedia ada itu tidak boleh dikekalkan kerana kononnya ia bersifat zalim dan terdedah kepada amalan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.
“Saya kata, undang-undang yang ada (Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan), saya tidak pertahankan. Ia undang- undang zalim, fitnah dan undang-undang inilah saya masuk penjara (sebelum ini),” katanya ketika berucap di Taman Sri Kerayong, Kapar yang dihadiri kira-kira 250 orang penyokongnya di sini semalam.
Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang menyatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai tidak relevan.
Menjawab soalan berkaitan hak- hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia menerima “idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay”, Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis lalu bahawa “kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami.”
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menggunakan peruntukan undang-undang membabitkan kesalahan liwat untuk mengaibkan mana-mana pemimpin politik seperti mana didakwa pihak tertentu.
Menurut Najib, sebaliknya asas pertuduhan liwat itu dibuat apabila terdapat aduan daripada mangsa kerana setiap rakyat negara ini mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang berasaskan prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan.
Dalam pada itu, selain mahu meminda undang-undang lapuk berkaitan kesalahan liwat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menafikan beliau menyokong perkahwinan sesama sejenis apabila mempertahankan institusi perkahwinan di antara lelaki dan wanita.
“Sebagai orang Islam dan saya percaya majoriti bukan Islam di Malaysia mahu institusi perkahwinan di antara lelaki dan perempuan dipertahankan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Pejabat Peguam Negara pada 20 Januari lalu yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Anwar menyatakan beliau tidak peduli mengenai perkara itu.
“Apa, ingat saya peduli ke hal ini,” ujarnya – Utusan
Undang-Undang Lapuk Adalah Seksyen 337
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menyentuh isu undang-undang yang didakwa lapuk sebagaimana dinyatakan beliau dalam wawancara bersama stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC), minggu lalu.
Isu itu telah mencetuskan kegemparan dan mendapat reaksi pelbagai pihak.
Beliau mengulangi isu yang sama ketika berucap pada majlis kesyukuran pembebasannya daripada tuduhan liwat di kediamannya di Segambut Dalam di sini, semalam.
Laporan itu telah disiarkan di dalam portal propembangkang Malaysiakini, hari ini.
Berikut adalah sedutan laporan dari laman www.malaysiakini.com yang disiarkan hari ini :
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya undang-undang yang didakwanya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.
Katanya, pindaan tersebut perlu dibuat bagi memastikan supaya ia tidak digunakan untuk menghina seseorang, khususnya terhadap musuh dalam politik.
“Memang undang-undang yang ada 377(B) ka, C ka, ini memang archaic (lapuk). Digunakan untuk aibkan orang. Digunakan untuk musuh politik.
“(Orang) tanya saya, bila kita berkuasa, boleh kita pinda. Ya, saya akan pinda. Apa pasal tidak boleh pinda undang-undang yang ada sekarang. Kita pinda supaya pastikan ia tidak bermaksud untuk menghina orang,” katanya.
Anwar turut menempelak pihak tertentu yang mempertahankan undang-undang yang didakwanya “jumud” digunakan untuk memfitnah seseorang.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya malam tadi bagi mengulas kontroversi wawancaranya dengan BBC yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.
Rangkaian itu meminta Anwar menyatakan pendirian sama ada beliau bersedia memperjuangkan ‘idea anti-diskriminasi’ terhadap kumpulan itu dan menegaskan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita.
“Tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan,” kata Anwar dalam temu bual dengan BBC itu.
Bercakap di majlis kesyukuran sempena pembebasannya daripada tuduhan liwat pada 9 Januari lalu, Anwar menegaskan kenyataannya bahawa Islam dan bukan Islam menyokong perkahwinan lelaki dan perempuan menjawab perbuatan seks bebas, homoseksual dan lesbian.
Anwar yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, umat Islam tidak boleh menghukum seseorang melakukan “perselingkuhan” kecuali ia dilakukannya di hadapan umum.
“Orang berkata, itu kalau di tempat persendirian? Kamu tahu mana?… Bukan mengendap atau merobek privasi orang, tidak boleh,” tegasnya di hadapan tetamu yang hadir di kediamannya, di Segambut Dalam, malam tadi.
- Malaysiakini
Sebagai rujukan, Seksyen 337 (B) berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.
Seksyen 377 (C) pula berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seseorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat – Utusan

1 comment:

Anonymous said...

Langkah mayat kami orang Islam dulu. Kami akan berjuang sehingga akhir titik darah kami membenarkan liwat di halalkan. We will defend whats in the quran till the end. You try and test our patience, please try, you are welcome.