Monday 5 November 2012

ANAK BEKAS AHLI PARLIMEN PARAH DITETAK....

Mangsa parah dibelasah penjenayah ketika jamu selera di restoran

Lokasi mangsa dibelasah dan ditetak di sebuah restoran di Seksyen 6, Wangsa Maju, semalam.

Kuala Lumpur  : Anak lelaki bekas seorang ahli politik parah selepas dibelasah dan ditetak sekumpulan individu tidak dikenali di Wangsa Maju, di sini semalam. 


Berita Harian melaporkan, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi dilaporkan berlaku ketika Wan Mohamad Faizal Wan Mohd Najib, 24, anak bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh di Kelantan, Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad, sedang menjamu selera di sebuah restoran di Seksyen 6. 


Sumber berkata, mangsa yang bekerja di syarikat menjual kenderaan mewah milik keluarganya di Cheras, tiba-tiba didatangi empat lelaki menaiki PROTON Perdana V6 hitam sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka. 


“Kumpulan itu mengheretnya keluar dari restoran dan membelasah bertubi-tubi sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan parang, menetak belakang mangsa. 

“Mereka melarikan diri apabila tempat kejadian dikerumuni orang ramai. 
Mangsa yang berlumuran darah dibantu orang awam yang turut menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya. 

Kenal pasti motif serangan 
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika mengesahkan kejadian, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif serangan ke atas mangsa yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. 

“Berdasarkan keterangan mangsa dan saksi, serangan dilakukan empat lelaki bersenjatakan parang. Siasatan turut mendapati mangsa tidak mengenali suspek, manakala kereta dinaiki kumpulan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya sambil menambah keadaan mangsa kini stabil. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan polis.

No comments: