KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David untuk mencipta rekod memenangi 63 kejuaraan Jelajah Wispa (Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita) tertangguh lagi selepas dia mengalami kekalahan kedua berturut-turut tahun ini apabila tersingkir pada kejohanan Terbuka Carol Weymuller di New York, kelmarin.
Turun dengan reputasi sebagai pilihan pertama dan juara 2005, Nicol bagaimanapun mengalami kekalahan pertamanya kepada pemain England, Alison Waters dalam tujuh pertemuan mereka. Ratu skuasy negara itu tewas 9-11, 11-5, 3-11, 7-11.
Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat pemain berusia 29 tahun itu selepas dikejutkan oleh pemain Mesir, Raneem El Weleily pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.
Kekalahan tersebut bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Nicol di takhta teratas dunia kerana dia sudah terlalu jauh meninggalkan pemain No. 2 dunia, Raneem atau pemain-pemain lain.
Nicol, juara dunia enam kali dan pemilik empat kejuaraan tahun ini, mengumpul 3,226 mata manakala Raneem dengan 1,490 mata.
Laura Massaro dari England yang menghuni tangga ketiga ranking dunia memiliki 1,438 mata.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan mengatasi rekod 62 kemenangan yang dikongsi bersama legenda New Zealand, New Zealand, Susan Devoy dan Sarah Fitz-Gerald dari Australia sekiranya muncul juara di New York.
Dia nampaknya terpaksa menunggu lagi untuk melengkapkan angka 63.
Waters, 28, pemain No. 9 dunia yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan dan baru kembali daripada kecederaan panjang, kini akan bertemu Massaro pada separuh akhir hari ini. Massaro mara selepas menundukkan bintang Hong Kong, Annie Au 9-11, 11-4, 11-3, 11-6.
Satu lagi saingan separuh akhir pula akan menemukan dua pemain Mesir, Raneem menentang Nour El Sherbini.
Raneem mara selepas berhempas pulas menyingkirkan Joelle King dari New Zealand 3-11, 10-12, 11-3, 11-8, 13-11 manakala Nour menumpaskan pemain No. 4 dunia, Jenny Duncalf 11-6, 11-9, 11-7.
“Saya seperti tidak percaya. Saya tidak pernah mengalahkannya sebelum ini, ketika turun ke gelanggang saya mempunyai keyakinan saya mampu mencipta kemenangan,” kata Waters.
- UTUSAN
No comments:
Post a Comment