Thursday 30 August 2012

PERHIMPUNAN 'GABUNGAN JANJI DEMOKRASI' LANGGAR AKTA



SHAH ALAM – Polis hari ini menegaskan, perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang hendak diadakan di Dataran Merdeka malam ini, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan esok, bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Zainuddin Ahmad berkata, ia melanggar akta itu kerana gagal memberi pemberitahuan, tidak memperoleh persetujuan daripada pemunya Dataran Merdeka iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan menggugat persiapan yang dibuat untuk menyambut Hari Kemerdekaan esok.

Zainuddin memaklumkan pendirian polis itu menerusi satu surat bertarikh hari ini, yang dialamatkan kepda Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji Demokrasi, Maria Chin Abdullah.

"Saya ingin memaklumkan bahawa perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos (hari ini) antara jam 10 malam dan 12 tengah malam, adalah satu perhimpunan yang bertentangan dengan undang-undang (Akta Perhimpunan Aman)," katanya.

Bagaimanapun surat itu tidak menyebut tindakan bakal diambil pihak polis jika penganjur meneruskan rancangan mereka.

Perhimpunan itu dijadual untuk diadakan dari 10 malam hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, Maria Chin ketika dihubungi Sinar Harian Online mengesahkan menerima surat daripada pihak polis pada jam 2.30 petang tadi.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, pihak Gabungan Janji tidak mahu sebarang konfrontasi dengan pihak berkuasa.

Menurut Maria, jika dihalang memasuki Dataran Merdeka, pihaknya akan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di mana-mana sahaja dalam di ibu negara.

"Kami tidak mahu sebarang konfrontasi dengan pihak polis. Jika kami tidak dibenarkan masuk atau Dataran Merdeka dikepung, kami akan cari tempat lain.

"Apa-apa tempat di Kuala Lumpur yang boleh kami sambut merdeka. Tak kira padang, stesen LRT atau kedai kopi. Yang penting sambutan itu," katanya.

Tetapi beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa.

"Kenapa kami perlu dapatkan kebenaran daripada pihak polis? Sedangkan setiap tahun rakyat Malaysia menyambut ambang merdeka.

Kalau begitu, setiap rakyat perlu dapatkan kebenaran sebelum berkumpul untuk menyambut merdeka?” katanya lagi.

Beliau mengulangi pendirian pihaknya bahawa Gabungan Janji Bersih menganjurkan sambutan bukannya mengadakan perhimpunan.

Tambahnya: "Ini bukan perhimpunan. Ini cuma sambutan. Tiada ucapan, tiada perarakan, tiada kain rentang dan sebagainya cuma pakai simbol kuning."

Pada masa yang sama, sambutan malam ini turut akan menjadi medan bagi mereka meraikan hari raya dengan sebahagian peserta akan membawa kuih-muih.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai untuk tidak menyertai Himpunan Janji Demokrasi yang diadakan malam ini kerana penganjurnya gagal mendapatkan kebenaran daripada DBKL.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kehadiran peserta juga boleh menjejaskan sambutan kemerdekaan yang akan diadakan esok.
"Kita menganggap tidak akan berlaku kekecohan tetapi sekiranya ada, kita akan mengenakan tindakan undang-undang yang sewajajarnya," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau turut menasihatkan penganjur untuk tidak merosakkan sambutan kemerdekaan kali ini dan bersama menyambutnya dengan aman.
Himpunan Janji Demokrasi juga dijadual diadakan di Melaka, Johor dan Perak.

Maria Chin
Maria Chin

No comments: