Sunday 29 July 2012

MIMPI POLITIK PAS




SALAH satu perkara menarik yang menjadi perbincangan dalam arena politik negara ialah mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pergilah ke mana sahaja dan berbuallah dengan sesiapa sahaja, topik mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sentiasa menjadi perhatian.

Ditubuhkan oleh sekumpulan ulama melalui perpecahan yang berlaku di dalam UMNO pada tahun 1951, perjuangan politik Pas kini semakin terarah daripada sebuah parti yang mampu berdikari kepada sebuah parti yang dilihat menjadi 'pak turut' dan sekadar 'kuda tunggangan' dalam pakatan pembangkang.

Rekod cemerlang Pas kerana memerintah Kelantan sejak tahun 1990 semakin pudar akibat perkongsian impian politik bersama PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun suatu ketika Pas dilihat sebuah parti yang jauh lebih berwibawa berbanding PKR dan DAP namun Pas tidak mampu bertahan untuk menjadi sebuah parti yang terus berjuang sendirian bagi mencapai cita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Perkongsian impian dengan kedua-dua parti itu jelas menunjukkan Pas terpaksa mengorbankan banyak kekuatan dan jati diri semata-mata untuk memenuhi rentak politik PKR dan DAP. Malahan golongan ulama yang menjadi tonggak utama di dalam Pas kini dikatakan semakin terhakis suara mereka.

Ulama-ulama Pas majoritinya berada di dalam Dewan Ulama dan mereka seolah-olah tidak mempunyai kuasa politik bagi menentukan hala tuju parti itu biar pun hakikatnya, Pas 'dilahirkan', 'dibesarkan' dan dididik oleh golongan berkenaan.

Kesudahannya, akibat semakin kurangnya kuasa politik golongan ulama di dalam Pas, maka arah tuju Pas juga semakin tidak jelas, sebaliknya dari semasa ke semasa parti itu terus bercelaru dalam usahanya mencari kuasa politik.

Oleh itu apabila pemimpin-pemimpin Pas membuat kenyataan yang dilihat cuba menunjukkan mereka parti kuat dalam pakatan pembangkang ia dilihat hanyalah sekadar satu mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Berikut penulis paparkan beberapa mimpi politik Pas berdasarkan perjalanan parti itu sejak mereka berkawan dengan PKR dan DAP.

Menjadi parti dominan - Pas masih lagi bermimpi untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang biar pun hakikatnya PKR dan DAP sudah pasti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku. Sebab itulah ramai pemerhati politik melihat impian Pas untuk bertanding 80 kerusi hanyalah satu impian yang tidak akan kesampaian.

Ini memandangkan PKR biar pun sedang menghadapi pelbagai kemelut dalaman dan luaran serta semakin terhakis sokongannya di kalangan rakyat, namun parti itu tetapi mahu menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Impian PKR sudah tentulah bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana parti itu mempunyai hubungan rapat dengan DAP dan ia jauh lebih erat berbanding hubungan PKR dengan Pas.

Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana dalam apa juga isu, pemimpin-pemimpin PKR dikatakan lebih menyebelahi DAP biar pun ia boleh menyinggung perasaan Pas.

Dalam pilihan raya umum akan datang PKR dan DAP sudah tentu akan memastikan Pas hanya bertanding sekitar 66 hingga 67 kerusi sahaja seperti mana pilihan raya umum lalu, manakala PKR dan DAP akan menentukan siapa antara mereka akan bertanding lebih banyak kerusi.

Apa yang menyedihkan, apabila keputusan sudah dibuat, Pas akan 'diarahkan' oleh sekutunya untuk menyediakan jentera pilihan raya untuk bertempur.

Ahli-ahli Pas akan dikerah memenuhi majlis-majlis ceramah PKR dan DAP, menggantung bendera kedua-dua parti itu dan bersedia membuat kenyataan bagi membela pemimpin-pemimpin pembangkang. Itu sahaja tugas Pas!

Malahan mereka juga akan bersedia bertakbir tanpa mengira siapa pun yang berucap.

l Impian mewujudkan negara Islam - Pas masih lagi bermimpi untuk memperjuangkan negara Islam sedangkan ia sudah lama berkubur berikutan keputusan parti itu menegakkan negara berkebajikan. Namun begitu oleh kerana menyedari sokongan orang Melayu kepada mereka semakin merudum maka mahu tidak mahu Pas terpaksa mendendangkan semula soal memperjuangkan negara Islam.

Kita percaya dalam soal ini seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad, semua itu hanyalah sandiwara dalam usaha Pas menarik sokongan orang Melayu.

Semua orang tahu Pas sudah tidak lagi sinonim dengan perjuangan Islam selagi mereka berada dalam pakatan pembangkang. PKR dan DAP sudah pasti tidak akan membenarkan Pas meneruskan perjuangan Islamnya.

Laluan Pas dalam soal ini hanyalah sekadar retorik politik kerana di dalam parti itu sendiri terdapat penentangan yang cukup ketara. dalam soal berkenaan. Golongan ulama masih berhasrat untuk meneruskan perjuangan Islam yang dianggap perjuangan asal Pas. Tetapi dalam masa yang sama, di dalam Pas juga terdapat kelompok pemimpin-pemimpin tertentu yang begitu mahu menjaga hati dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP. Oleh itu dalam keadaan mereka begitu ghairah untuk memburu kuasa bersama kedua-dua parti berkenaan, ada di kalangan pemimpin tersebut yang tidak mahu ada perkara berbangkit yang mampu menjejaskan impian berkenaan.

l Pemimpin Pas jadi Perdana Menteri - Inilah mimpi yang paling menyeronokkan bagi pengikut-pengikut Pas kerana mereka merasakan pemimpin-pemimpin utama mereka layak tetapi hakikatnya pemimpin mereka sendiri tiada keyakinan diri. Sebab itulah mereka membuat kenyataan-kenyataan yang menyatakan jika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum nanti yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengikut-pengikut Pas harus memahami bahawa kedudukan pemimpin mereka di dalam pakatan pembangkang sekadar penyokong setia dan pengikut sahaja, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mendominasi segala agenda politik pakatan tersebut.

Apatah lagi, berbanding Pas, pemimpin-pemimpin PKR lebih mendapat kepercayaan pemimpin DAP sebab itulah biar pun PKR mempunyai kerusi yang kurang dalam Parlimen berbanding Pas, namun DAP tetap memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi ketua pembangkang.

Pemimpin-pemimpin Pas hanya digunakan untuk membuat kenyataan-kenyataan menyokong dan membela pemimpin PKR dan DAP. Oleh itu tidak usahlah pengikut-pengikut Pas bermimpi pemimpin mereka akan menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

l Berhasrat menggantikan UMNO - Inilah mimpi paling mengasyikkan bagi Pas sehingga mereka sanggup mencetak kemeja t yang tertulis perkataan Pas ganti UMNO.

Tetapi semua orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk berbuat demikian. Pas bukan seperti UMNO kerana dalam pembangkang, Pas diibarat seperti melukut di tepi gantang demi mencari kuasa.

Ini berbeza dengan UMNO yang menjadi tonggak kekuatan BN tetapi sentiasa menghormati kesepakatan yang dicapai bersama komponen parti itu sejak merdeka.UMNO tidak pernah mahu menjadi 'abang besar' di dalam BN tetapi dalam pakatan pembangkang semua orang tahu siapa 'abang besar' yang Pas dilihat perlu akur.

Kesimpulannya, Pas boleh terus bermimpi dan bermimpi untuk menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang tetapi ia tidak akan menjadi kenyataan.

Bak kata Ahmad Masrizal, ''Pas dalam pakatan pembangkang sebenarnya adalah tidak ke mana. Tiada kekuatan suara, fikrah apatah lagi kekuatan politik untuk menentukan hala tuju pakatan itu. Itulah jatuh nasib Pas dalam Pakatan Pembangkang, tampak hebat berceramah siang dan malam tetapi ironisnya hanya setakat melukut dalam lingkaran pakatan Pembangkang.''
 




By - Zulkiflee Bakar

No comments: