Sunday, 1 July 2012

BAHANA APABILA PEREMPUAN GHAIRAH NAK CANTIK...


BRO nak gelak guling-guling bila baca berita ada perempuan guna barang kosmetik tiruan semata-mata untuk cantik.

Bro tak kisah kalau perempuan nak cantik tetapi biarlah berpada-pada, buat apa nak susahkan diri nak guna benda macam tu sebab kesan jangka masa panjang memang buruk.

Memanglah buat permulaan, bila guna produk tiruan ni, muka nampak cantik tetapi lama kelamaan ia akan merosakkan wajah ciptaan Allah SWT itu.


Bro selalu pesan, kecantikan wajah bukan segala-galanya, kalau muka cantik perangai macam hantu raya pun tak guna juga.

Lebih baik kaum perempuan berusaha perbaiki budi pekerti dan menjaga penampilan dengan cara yang betul, bukan menghias wajah dengan alat-alat kosmetik. Nama pun dah kosmetik sudah tentulah ia bukan asli.

Apa yang Bro hairankan ialah kebanyakan perempuan yang nak cantik ni selalunya berbuat demikian dengan tujuan untuk menarik perhatian orang ramai.

Dia bangga bila orang perhati, maklumlah manusia ni bila dah perasan cantik, itulah antara masalah paling susah nak diselesaikan.

Tetapi yang Bro tertanya-tanya bila kat rumah, ramai perempuan yang tak tahu nak berhias, mereka hanya pandai berhias bila di luar rumah sahaja.

Bila suami balik rumah, tengok muka isteri yang kusut masai hilang segala mood. Sepatutnya kalau betul-betul nak jaga penampilan jagalah di luar rumah dan di dalam rumah.


Faedah

Orang kat luar yang puji kita cantik tu, tak ada apa-apa faedah pun tetapi kalau suami kita puji kita cantik, pastinya rumah tangga akan bahagia dan kasih sayang semakin erat.

Justeru Bro nak pesan kepada perempuan-perempuan yang dok guna kosmetik tiruan ni, insaf-insaflah. Janganlah dok perasan cantik bila guna kosmetik sedemikian.

Bro beri nasihat ini ikhlas kerana Bro dah tengok macam mana ada perempuan yang ghairah sangat nak cantik akhirnya menjadi hodoh. Habis muka bertompok-tompok atau berparut-parut sebab menggunakan kosmetik tiruan ini.

Paling Bro nak gelak bila ada perempuan yang pakai barangan kosmetik murah muka jadi macam orang kena baling tepung.

Ia berlaku apabila bedak atau krim yang disapu kat muka kering dan bertukar menjadi putih, kesudahannya muka nampak macam hantu gigi bangun dari kubur macam cerita Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Sebab itulah, kalau nak cantik juga buat betul-betul, gunakan barangan kosmetik yang sudah disahkan piawaiannya oleh pihak berkuasa, bukan main hentam sahaja asalkan murah terus beli.

Begitu juga bila berkunjung ke pusat-pusat kecantikan, pastikan pusat itu mempunyai pakar dan menggunakan bahan-bahan yang dibenarkan.

Kita dah banyak kali dengar cerita bagaimana ada perempuan yang rosak mukanya kerana tersilap masuk pusat kecantikan. Tetapi kisah macam ni jarang jadi pengajaran kat kaum perempuan.

Bro ni bukannya berfikiran kolot atau kuno, cuba Bro tabik dengan orang tua dulu-dulu mengekalkan kecantikan, malahan ada antara mereka walaupun berusia 70-an wajah masih berseri-seri.

Bro percaya mereka ini tidak guna bahan kosmetik, segalanya kerana banyak beribadat kepada Allah SWT dan sentiasa memastikan wajah sentiasa disirami air wuduk.

Selain itu, zaman dulu-dulu tidak ada masalah barangan kosmetik tiruan, sebab orang-orang tua kita tidak teruja nak pakai kosmetik. Seingat Bro salah satu bahan paling popular ialah bedak sejuk dan bedak nyonya.


Asli

Semua bahan yang digunakan asli tidak dicampur dengan bahan-bahan lain. Malahan ada juga orang tua-tua pesan kat Bro kalau nak bagi muka licin pakai aje daun lidah buaya, kerat dan sapu di muka. Paling seronok ada juga kata gunakan air basuh beras.

Sekarang ni macam mana nak ambil air basuh beras, sebab ramai perempuan nak masak nasi pun tak tahu, itu belum lagi ambil kira bagaimana khabarnya ada barangan kosmetik yang dicampur dengan benda bukan-bukan, tak payahlah Bro nak sebut, buat meloya tekak aje.

Tetapi sesetengah perempuan tidak peduli itu semua, bila dah ghairah nak cantik sangat... Semuanya mereka belasah. Kesudahannya apabila barangan kosmetik yang digunakan mula membeli kesan, barulah nak menyesal.

Apa yang paling malang jika wajah cantik anugerah Allah menjadi cacat akibat 'mainan' barangan kosmetik tiruan tersebut.

Berikut antara berita mengenai kosmetik tiruan :


Bro memang tak faham kenapakah perempuan suka sangat hendak menyusahkan diri. Memanglah semua perempuan hendak cantik tetapi ada juga perempuan yang tidak teruja hendak cantik.

Perempuan yang macam tu merasakan dirinya sudah cukup cantik atau tidak mahu menyusahkan diri dengan menghabiskan wang untuk benda-benda yang tidak berfaedah itu.

Kepada perempuan-perempuan yang ghairah nak cantik ingatlah kecantikan wajah bukan segala-galanya yang penting budi pekerti kita kerana di sebalik wajah yang dianggap cantik itu ada tengkorak yang hodoh.

~ Kucing Jantan

No comments: