Buat julung-julung kalinya, Pulau Pangkor akan menjadi tumpuan peminat sukan air tempatan dan antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah penganjuran ‘Pangkor World Jetrace Challenge 2012 (PWJC) pada 14 dan 15 Julai depan.
Berlangsung di Pantai Pasir Bogak, acara itu juga sebagai tarikan Tahun Melawat Perak 2012 selain mempromosikan Pulau Pangkor sebagai hub sukan air di peringkat nasional dan rantau Asia Tenggara.
Pengerusi PWJC, Khairul Azwan Harun, berkata setakat ini, 14 pasukan sudah mengesahkan peryertaan yang diwakili pelumba tempatan dan antarabangsa antaranya dari United Kingdom, Filipina, Brunei, Singapura dan Indonesia.
“Pelumba jet ski bertaraf antarabangsa yang juga anak jati Pangkor, Mohd Nur Azahari atau lebih dikenali sebagai Eddy Pangkor turut bakal beraksi dalam cabaran itu yang mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri.
“Sejumlah RM37,500 hadiah berupa wang tunai menanti pemenang utama dalam lima katogeri yang dipertandingkan iaitu Pro-Am Runabout 4 Stroke Open; Ladies Runabout 4 Stroke Open; Pro-Am Runabout Stroke Stock; Veteran 4 Stroke Open dan 800cc Runabout 2 Stroke Open,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.
Khairul Azwan berkata, kejohanan itu juga mendapat pengiktirafan International Jet Ski Boating Association melalui Kelab Sukan Kraf Air dan disenaraikan dalam Sirkit Liga Kebagsaan selepas penganjuran di Langkawi dan Putrajaya.
Tambahnya lagi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan merasmikan kejohanan itu pada 14 Julai manakala Raja Kecil Besar, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris pula bertindak sebagai penaung PWJC.
“Orang ramai dijemput untuk memeriahkan kejohanan ini yang akan diserikan dengan penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa seperti BJ Ang dari Filipina, Christopher Keasberry (Brunei) dan Seth Wilkinson (Britain),” katanya.
Penyertaan masih dibuka dengan yuran pendaftran antara RM150 hingga RM300.
Sebarang pertanyaan, hubungi urusetia penganjur PWJC yang beralamat No 24 A, Medan Istana 5, Bandar Ipoh Raya atau menghubungi 05-2557725 untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment