Wednesday 2 May 2012

HATI SYAITAN : REMAJA MASIH BERSEKOLAH CEKIK DAN BENAM BAYI DALAM BALDI..!!!

SIASAT...anggota  forensik memeriksa mayat bayi yang  ditanam dua remaja.
SIASAT...anggota forensik memeriksa mayat bayi yang ditanam dua remaja.

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercayai mencekik dan melemaskan bayi lelaki yang dilahirkannya dalam baldi berisi air Ahad lalu, sehari sebelum menanam mayat bayi itu dalam semak berhampiran kawasan kilang di Taman Ria Jaya di sini, keesokannya dengan bantuan teman lelakinya berusia 17 tahun.

Dalam kejadian 6.30 petang Ahad lalu, pelajar terbabit yang melahirkan bayi lelaki cukup sifat, panik lalu mengambil tindakan membunuh bayinya bagi mengelak perbuatan kejinya diketahui.

Menurut sumber, pelajar terbabit mencekik dan melemaskan bayi itu dalam baldi berisi air sebelum menyimpan mayatnya dalam almari di biliknya.
“Bayi itu dipercayai hidup dan sempurna sifat ketika dilahirkan.

“Ibu bapa remaja perempuan itu tidak tahu anak mereka hamil mungkin kerana perutnya yang membesar tidak terlalu ketara,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keesokannya kira-kira jam 6.30 pagi, remaja perempuan itu memasukkan bayi berkenaan ke dalam beg sekolah untuk dibawa ke sekolah dan membuat temu janji dengan teman lelakinya, bekas pelajar sekolah berkenaan yang sudah tidak bersekolah.

“Pelajar perempuan itu kemudian mengikut teman lelakinya yang datang ke sekolah dengan menunggang motosikal, membawa mayat bayi untuk ditanam di tanah kosong di Kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya.

“Mereka menanamnya bersama beg sebelum menutup dengan batang kayu untuk mengelak dikesan,” katanya.

Menurutnya, perbuatan pasangan remaja berkenaan terbongkar selepas pelajar perempuan itu menceritakan kejadian kepada beberapa rakannya yang kemudian melaporkan kepada guru kaunseling di sekolah berkenaan. Beliau berkata, guru kaunseling berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada seorang ahli jawatankuasa masjid berhampiran yang melaporkan kepada polis. Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya sudah menahan pasangan berkenaan malam kelmarin untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat bayi tanpa kebenaran. Polis akan menyiasat secara menyeluruh untuk mengetahui punca kematian bayi itu.

“Mayat bayi itu dipercayai ditanam lebih 24 jam lalu di Jalan PKNK 1/8, Kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya dan ia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.


No comments: