Friday 16 March 2012

PKR SELANGOR DIBELENGGU MASALAH DAN ISU RAKYAT..!!!


Sebahagian mangsa banjir kilat di Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang, Selangor mendapatkan air yang dibekalkan oleh Syabas, baru-baru ini. - Gambar hiasan




MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh bercakap apa sahaja. Antaranya, pemerintahan pakatan pembangkang itu di Selangor lebih baik 40 tahun daripada pentadbiran BN. Negara berkebajikan yang ditadbir kerajaan PKR Selangor kononnya tidak akan bankrap selagi ditadbir dengan baik, telus dan adil.

Itu kata Khalid Ibrahim bulan lepas. Kata beliau, ia berdasarkan penyata kewangan Selangor pada 31 Disember 2011. Sedangkan hakikatnya tidaklah sedemikian - indah khabar daripada rupa.

Cuba perhatikan dan rakyat Selangor boleh membuat penilaian sendiri. Tilik-tilikkanlah:

1. ISU RUMAH RAKYAT

Di dalam manifesto pilihan raya 2008, pakatan pembangkang telah berjanji untuk membantu setiap rakyat Selangor untuk memiliki rumah sendiri. (Rujuk Manifesto).

Memang benar kerajaan PKR Selangor melalui PKNS ada membina rumah untuk rakyat. Namun pada hakikatnya rumah yang dibina itu tidak termampu untuk setiap rakyat Selangor memilikinya. Antaranya, projek pembinaan apartment milik PKNS di Seksyen 7 Shah Alam. Harga minimum setiap unit yang berkeluasan 1,100 kaki persegi itu bernilai RM300,000 ke atas.

Jadi, bagaimana caranya untuk rakyat menikmati janji yang pakatan pembangkang canangkan sekiranya setiap rumah itu nilaiannya mencecah ratusan ribu.

Dahulu kerajaan BN dituduh sebagai kejam kerana merobohkan penempatan setinggan. Namun hakikatnya tidak begitu.Perobohan setiap kampung setinggan itu sebenarnya telah digantikan dengan rumah yang mampu milik. Keadaan ini sebenarnya telah memberikan peluang sama rata kepada setiap rakyat Selangor untuk memiliki rumah kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah dan mampu dimiliki oleh setiap rakyat yang berpendapatan sederhana.

2. ISU SAMPAH

Bukti jelas kerajaan PKR Selangor gagal mengurus negeri dengan baik.

Mereka menamatkan khidmat Alam Flora dan menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan kononnya bagi menjimatkan kos. Namun, hakikatnya yang berlaku hari ini Selangor menjadi negeri 'Darul Sampah'.

Nampaknya dari sehari ke sehari, masalah sampah di seluruh Selangor sedang berhadapan dengan situasi yang amat kritikal. Kontraktor-kontraktor yang baru dilantik oleh setiap PBT di seluruh Selangor nampaknya telah gagal menjalankan tugas yang diamanahkan secara berkesan. Bertentangan dengan pendapat kerajaan negeri, pemecatan dan penyingkiran Alam Flora Sdn. Bhd (AFSB) akan menambahbaikkan perkhidmatan pembersihan dan sisa pepejal di seluruh Selangor.

Perlu diingat bahawa pembersihan dan sisa pepejal menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat. PBT dan Kerajaan Negeri Selangor menerima peruntukan melebihi RM500 juta setiap tahun. Jumlah itu cukup banyak dan peluang pakatan pembangkang untuk menukar peruntukan tersebut sebagai dana pilihan raya dan aktiviti mereka di Selangor sangat besar.

Kalau Alam Flora mampu melaksanakan tugasnya dengan baik, mengapa khidmat mereka perlu dihentikan. Apalah gunanya menyerahkan kuasa mengurus kepada PBT, tetapi gagal menguruskan masalah sampah dengan sempurna.

3. MASALAH AIR DAN UiTM

Ini satu lagi masalah ciptaan pakatan pembangkang yang membelenggu Selangor. Sedangkan kerajaan Pahang sudah bersetuju untuk menjual air kepada Selangor memandangkan Selangor dijangka berdepan dengan krisis air menjelang 2014.

Kini terowong bagi menyalurkan air yang dibina dari Pahang sedang giat dijalankan. Cuma yang menjadi masalahnya adalah pembinaan loji air berkenaan masih lagi terkandas kerana kerajaan Selangor enggan memberi kerjasama iaitu berhubung penyediaan tapak.

Loji air berkenaan dicadang untuk dibina di Hulu Langat dengan kos RM2 bilion yang ditanggung kerajaan pusat. Persoalannya mengapa kerajaan negeri tidak mahu memberi tanah kerana mereka ingin menguasai pengurusan air di Selangor. Inilah masalahnya.Sudah dua tahun projek ini tergendala.

PKR Selangor hanya memikir kepentingannya, tetapi mereka lupa rakyat yang mengalami kerugian akibat kerenah mereka. Misalnya, kalau semua masih ingat akan keengganan memberi tanah oleh Khalid jugalah mengakibatkan cadangan pembinaan UiTM di Serendah terpaksa berpindah ke Melaka.

Cuba kita bayangkan projek yang bernilai ratusan juta yang mampu memberi nikmat ekonomi kepada rakyat setempat sepatutnya menjadi milik Selangor terpaksa diberikan kepada Melaka kerana politik sempit kerajaan PKR Selangor.

4. ISU EKONOMI

Sebenarnya kerajaan PKR Selangor beruntung kerana mereka mengambil kerajaan yang mempunyai kewangan kukuh sewaktu pentadbiran BN. Sejak memenangi Selangor pada 2008, pakatan pembangkang menjanjikan kononnya peningkatan ekonomi lebih baik. Namun, hari ini kita boleh menilai sendiri apa yang dijanjikan mereka itu.

Hari ini kerajaan negeri kononnya melaungkan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor adalah menggalakkan. Namun kerajaan ini jugalah yang melakukan penindasan terhadap peniaga di Selangor.

Bukti yang cukup jelas ialah bagaimana rintihan peniaga bumiputera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Selangor baru-baru ini berhubung kenaikan 100 peratus kadar sewa di kompleks PKNS. Bayangkanlah apa yang kerajaan 'berkebajikan' kononnya lakukan terhadap peniaga di Selangor.

Berapa banyak premis perniagaan baru kerajaan negeri bina kepada rakyat Selangor seperti mana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya. Sebaliknya, premis perniagaan yang ada kini ingin dirobohkan pula kerajaan negeri.

5. ISU PENDIDIKAN

Sejak kerajaan pakatan memenangi Selangor, bukan saja banyak masalah yang timbul, malah semua agensi ingin dipolitikan termasuk institusi pengajian tinggi. Cuba rakyat Selangor lihat bagaimana perletakkan jawatan Naib Canselor UNISEL kerana campur tangan politik.

Hari ini UNISEL yang ditubuhkan semasa kerajaan negeri di bawah BN kini menghadapi kerugian berjuta-juta ringgit ekoran kemerosotan jumlah pendaftaran baru pelajar ke universiti itu. Maklum balas diterima bahawa ibu bapa kini berasa tidak selesa untuk menghantar anak-anak mereka ke UNISEL berikutan pengaruh fahaman politik yang menguasai kampus dan pentadbirannya.

Justeru pentadbiran Khalid perlu memberi penjelasan berhubung perkara ini seperti mana diperkatakan mereka baru-baru ini yang sedia mendedahkan kewangan UNISEL.

Begitu juga dengan nasib anak-anak Selangor yang mendapat tajaan Yayasan Selangor ditempatkan di Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Cuma apa yang menyedihkan kini adalah pihak pengurusan Yayasan Selangor mahu merobohkan kedua-dua asrama itu dan membangunkan tapak asrama itu bagi projek komersil.

Begitu juga dengan aspek pengagihan bantuan kewangan kepada sekolah di Selangor. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mendapat peruntukkan sebanyak RM6 juta, Sek. Ren. Agama juga RM6 juta dan Sekolah Jenis Keb. Tamil hanya diperuntukan sebanyak RM4 juta.

Persoalannya, atas alasan apa agihan ini diberi tidak sama rata jika benar pakatan pembangkang mengutamakan keadilan. Ini bermakna terdapat diskriminasi sedangkan Sekolah Tamil di Selangor mempunyai 97 buah berbanding Sek. Jenis Keb. Cina 109 buah dan Sek. Ren. Agama 500 buah.

6. ISU PASIR

Skandal pasir di Selangor sebenarnya tidak akan tamat selagi kerajaan PKR memerintah. Mengapa dikatakan begitu? Kerana pasir Selangor adalah antara sumber dana terbesar untuk kerajaan negeri kerana kegagalan mereka untuk menjana ekonomi daripada sumber lain.

Tidak perlulah mendabik dada di atas jumlah simpanan tetap kerajaan negeri kerana semua duit itu adalah hasil penjualan aset-aset yang ada. Kenapa dengan duit kerajaan negeri yang berbillion itu tidak dibelanjakan untuk rakyat Selangor? Apakah ia akan digunakan sebagai dana pilihan raya.

Untuk meredakan isu pasir ini mudah. Pertama, dua pemimpin PKR yang dikaitkan seperti mana didedahkan Raja Petra Kamaruddin (RPK) perlu menyaman RPK sekiranya dakwaan itu tidak benar dan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat penyelewengan berkenaan.

Jika sesuatu isu membabitkan BN, pembangkang tahu pula begitu lantang mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan secepat mungkin. Namun, bila terkena batang hidung sendiri, semuanya 'menikus' ketakutan. Dengan kata lain, kerajaan PKR Selangor seperti tikus membaiki labu.

No comments: