Monday 30 January 2012

QAZAF - JAMIL KHIR DIBENAR KETEPIKAN KES

Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali untuk mengetepikan kes berhubung dengan qazaf.
Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun memutuskan demikian selepas meneliti permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak.
Anwar pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berikutan keputusan mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.
Pada Ogos tahun lalu, Anwar juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu.
Dalam kes itu, Anwar diwakili oleh Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok.
Jamil, Shamsuddin dan Che Mat pula diwakili tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.
Sementara itu, peguam mewakili Jamil, Shamsuddin dan Che Mat akan memfailkan notis tunjuk mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal 1998 yakni tindakan menghina mahkamah terhadap peguam-peguam syarie yang mewakili Anwar selepas mereka bertindak keluar dari dewan mahkamah ketika prosiding masih bersidang.
Peguam-peguam Anwar itu bertindak demikian selepas Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan kes yang dikemukakan oleh pihak Ketua Pembangkang itu tidak relevan.

No comments: