Friday 9 December 2011

SPRM SIASAT PERINDUSTRIAN PERANCIS ALSTOM




 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan keatas sebarang tohmahan jenayah rasuah jika tohmahan tersebut mempunyai asas seperti yang termaktub di bawah Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009.
Malah, SPRM melalui satu kenyataan media memberitahu, SPRM telah memulakan siasatan proaktif berhubung dakwaan yang disiarkan dalam media-media berkaitan dan telah membuat perhubungan dengan pihak berkuasa yang berkaitan di dalam dan luar negara.
“Bagaimanapun SPRM tidak boleh mendedahkan butiran mengenai siasatan yang sedang berlangsung supaya ianya tidak menjurus kepada tanggapan tidak benar ke atas pihak-pihak yang berkaitan.
“Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan SPRM itu sebagai mengulas kenyataan yang disiarkan melalui media cetak dan elektronik yang mendesak supaya siasatan dijalankan SPRM ke atas Alstom berhubung dakwaan rasuah.
Menurut kenyataan itu, SPRM memandang serius terhadap semua dakwaan rasuah dan akan menyiasat tanpa takut atau memilih kasih.
“SPRM juga ingin mengingatkan usahawan dan peniaga-peniaga tempatan yang beroperasi di luar negara supaya sentiasa menghindarkan diri daripada sebarang perlakuan jenayah rasuah memandangkan penglibatan dalam jenayah rasuah di luar negara juga merupakan satu kesalahan, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 66 Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu lagi.
Sebuah portal hari ini melaporkan Transparency International (TI) hari ini menggesa supaya siasatan terperinci dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap dakwaan rasuah oleh kumpulan perindustrian Perancis Alstom, dalam skandal yang membabitkan beberapa negara.
Media Malaysia telah melaporkan semalam bahawa pegawai anti-rasuah “melawat” pejabat sebuah syarikat kuasa minggu lepas, di tengah-tengah dakwaan bahawa seorang bekas pegawai menerima sogokan dari Alstom berhubung satu projek kuasa pada tahun 1990-an.
Beberapa eksekutif di Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC) juga telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan laporan akhbar The Star, dakwa portal itu. – mynewshub.my

No comments: