Wednesday 21 December 2011

IMBAS KEMBALI ~ DR. MAHATHIR PENYELAMAT NEGARA...???


DR. MAHATHIR - PENYELAMAT NEGARA

Oleh Nor Mohamed Yakcop 



Dalam artikel ini, saya ingin menghuraikan serba sedikit tentang satu keputusan yang begitu bermakna, berani dan bijaksana yang telah diambil oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 1 September 1998. Pada tarikh tersebut, Dr. Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, dengan penuh keyakinan, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan rejim kawalan pertukaran asing terpilih (selective exchange control regime). Peluang yang terbuka ekoran langkah-langkah 1 September 1998 bukan sahaja memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus mengharungi krisis ekonomi yang melanda negara, malah Malaysia muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mantap. Adalah tidak sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan.

Pada masa itu, saya berjumpa dengan Dr. Mahathir Mohamad hampir setiap hari dan setiap kali pertemuan saya dengan beliau, raut wajah dan perwatakkan beliau menampakkan keresahan kerana memikirkan situasi ekonomi yang tidak menentu. Ini adalah disebabkan beliau berasa hairan kerana pada waktu itu asas-asas ekonomi negara begitu kukuh sekali. Beliau sedar bahawa krisis luar biasa itu adalah berpunca daripada konspirasi penyangak-penyangak matawang, dengan sokongan bank-bank antarabangsa, yang telah lama membuat perancangan yang begitu rapi untuk meruntuhkan ekonomi Malaysia. Kesedaran itulah yang mendorong Dr Mahathir Mohamad mengerah segala usaha dan keringatnya untuk mencari jalan terbaik bagi menghentikan kegiatan manipulasi dan serangan spekulasi matawang asing yang begitu kompleks serta mencabar. Beliau juga sedar bahawa tindak balas yang tidak tepat akan hanya menjerumuskan Malaysia kedalam kitaran ganas kemiskinan. Bak kata pepatah, tersilap langkah, antan patah lesung hilang. Dalam keadaan yang begitu genting, saya sering melihat Dr. Mahathir Mohamad, walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang sihat, seperti demam dan batuk-batuk, begitu tabah dan terus berusaha siang dan malam, tanpa mengenal erti jemu, untuk mencari formula demi menyelamatkan ekonomi negara.

Selepas pelan tindakan dilaksanakan pada 1 September 1998, Dr Mahathir Mohamad tidak berehat. Sebaliknya, beliau terus mempengerusikan mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) setiap hari bagi membincangkan, menghalusi dan memantau keadaan ekonomi serta menyusun langkah-langkah ke arah mengukuhkan ekonomi. Petunjuk dan data-data ekonomi penting seperti pelaburan, perbelanjaan, eksport dan import serta banyak lagi data-data dianalisis pada setiap hari. Tidak ada pemimpin di negara membangun mahupun sedang membangun yang pernah melakukan tindakan seperti ini. Ini membuktikan kelebihan Dr. Mahathir. Hakikatnya, Dr. Mahathir menyelamatkan Malaysia, bukan sahaja melalui keberanian beliau melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998, tetapi juga melalui kerajinan dan kecekapan beliau dalam memantau situasi ekonomi setiap hari, supaya tindakan segera dapat diambil untuk menangkis sebarang ancaman dan memperbaiki keadaan, jika perlu.

Sekiranya Malaysia tidak melaksanakan langkah-langkah unorthodox pada bulan September 1998, sebahagian besar syarikat perniagaan akan menjadi muflis. Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan tanggungan hutang mereka. Apabila mereka jatuh seperti domino, bank-bank dan institusi kewangan akan runtuh kerana hutang tidak berbayar (NPL) yang terlalu besar. Apabila bank-bank runtuh, kekangan kredit akan menjadi lebih parah, menyebabkan syarikat-syarikat yang sedia maju tidak mendapat pinjaman. Perniagaan mereka akan menguncup dan akhirnya mereka juga akan terjejas teruk. Seterunya Kerajaan pula tidak akan dapat memungut hasil yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan.

Akibat kegagalan bank dan korporat, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara dan seterusnya satu lagi kitaran kegagalan syarikat dan bank akan menyebabkan satu lagi pusingan pengangguran. Inilah apa yang dikatakan kitaran ganas. Apabila jumlah pengangguran meningkat, jalinan sosial di Malaysia akan terungkai dan seterusnya menyebabkan kegawatan sosial dan politik. Ini akan menyebabkan dana dari luar tidak masuk ke Malaysia, kerana pelabur asing tidak akan masuk ke dalam negara yang tidak menentu kestabilan sistem politiknya. Dalam tahun 1997 dan 1998, senario ini adalah satu bencana yang menunggu masa untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana kebijaksanaan Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998.

Negara-negara jiran kita juga kembali pulih kerana Malaysia melaksanakan kawalan pertukaran asing terpilih. Beberapa bulan sebelum 1 September 1998, pengurus hedge funds telah merancang untuk melemahkan kadar ringgit kepada RM5 bagi setiap AS$1, dan mengambil tindakan yang sama terhadap mata wang Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

Mereka telahpun mula melaksanakan rancangan ini sedikit demi sedikit. Apabila Malaysia secara mengejut melaksanakan pelan tindakannya pada 1 September 1998, mereka panik dan bukan sahaja membeli semula ringgit, tetapi juga mata wang negara-negara rantau ini. Paling penting, mereka terpaksa membatalkan rancangan serangan tersebut dan tidak berani membuat serangan sedemikian sehingga sekarang. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa langkah Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada bulan September 1998 bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia tetapi juga negara-negara di rantau ini.

Satu lagi kesan positif kepada Korea Selatan, Thailand dan Indonesia berikutan langkah-langkah kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan Malaysia ialah sikap IMF dan negara-negara Barat. Atas sebab-sebab yang telah kita ketahui, IMF dan lain-lain negara Barat tidak mahu kawalan mata wang asing Malaysia berjaya kerana kejayaan langkah berkenaan akan menjejaskan kredibiliti dasar globalisasi dan pasaran bebas yang mereka perjuangkan. Oleh itu, bagi IMF adalah penting untuk memastikan Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, yang tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing dan sebaliknya menerima bantuan IMF, menghasilkan kejayaan yang jauh lebih baik daripada Malaysia. Ini dilakukan, bukan kerana IMF benar-benar mahu negara-negara tersebut berjaya, tetapi hanya untuk menunjukkan bahawa cara yang dipilih oleh Malaysia adalah salah. Bagi Malaysia, lebih banyak bantuan yang diberikan oleh IMF kepada negara-negara ini adalah lebih baik. Ini bukan sahaja dari segi kemanusiaannya, iaitu ingin melihat jiran kita makmur, tetapi juga dari segi kepentingan Malaysia sendiri, kerana kemakmuran jiran-jiran kita akan meningkatkan perdagangan serantau dan kestabilan politik serantau yang akan menguntungkan Malaysia. 

Kemenangan Malaysia


It was the worst of times. It was the best of times. Ungkapan ini mungkin diucapkan oleh penyair untuk menggambarkan tempoh dua tahun yang diharungi negara mulai Julai 1997, apabila krisis kewangan di Asia mula menunjukkan belangnya. Ia adalah satu tempoh yang paling perit berikutan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia semasa melalui tempoh ini.

Ia juga adalah satu tempoh yang paling menarik kerana ia menampakkan beberapa kualiti terbaik Dr. Mahathir Mohamad khasnya dan rakyat Malaysia amnya untuk membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah satu jalinan masyarakat yang kukuh yang mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk menerima gegaran serta kejutan, bahkan tabah menghadapinya.

Dr. Mahathir Mohamad telah beberapa kali menegaskan bahawa satu pengajaran dari krisis 1997 - 1998 ialah kita perlu mempersiapkan dan memperlengkapkan diri supaya kita mempunyai daya ketahanan yang cukup kuat untuk menangkis dan menangani krisis-krisis kewangan dan serangan ekonomi yang berlaku pada masa hadapan. Kita perlu sedar bahawa kebanyakan krisis kewangan dan krisis ekonomi adalah di luar kawalan kita. Ia muncul dengan tiba-tiba dalam bentuk dan pola yang sukar diramalkan. Apa yang mustahak, mengikut pendapat Dr. Mahathir, ialah jika berlaku krisis, kita mesti mempunyai keyakinan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil, dengan syarat ia dilakukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Kita akan berjaya sekiranya kita bijaksana, berakhlak dan berani sepertimana yang ditegaskan oleh filasuf Kung Fu Tze: Yang bijaksana tidak keliru, yang berakhlak tidak gundah gulana, yang berani tidak gentar

Kita tidak harus mengharapkan apa-apa pujian daripada negara-negara barat atau media-media mereka kerana kita melakukannya bukan untuk mendapat pujian atau untuk memuaskan hati mereka. Kita melakukannya kerana kita tahu bahawa apa yang kita lakukan adalah langkah yang tepat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat keseluruhannya.

Dalam melaksanakan pelan unorthodox pada bulan September 1998, Dr Mahathir telah membuktikan bahawa sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh secara teratur, berpasukan, berstrategi dan terancang, adalah tidak mustahil untuk menentang lawan kita yang jauh lebih gagah dan perkasa daripada kita dengan cara kita sendiri.

Satu lagi pengajaran, khasnya daripada krisis kewangan 1997 - 1998, yang selalu ditekankan oleh Dr. Mahathir Mohamad, ialah proses globalisasi tidak semestinya membawa kemakmuran kepada kesemua negara di dunia ini. Di peringkat awal, pelonggaran halangan perdagangan, dasar perniagaan mata wang yang bersifat antarabangsa dan aliran modal jangka pendek yang tidak terbatas dianggap satu perkara yang membawa manfaat kepada negara maju dan negara membangun. Namun apa yang dianggap baik kepada negara maju tidak semestinya baik untuk negara membangun. Krisis kewangan, yang hanya membabitkan negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, membuktikan tesis ini dengan jelas. Ini bermakna proses globalisasi yang dicanangkan oleh Barat perlu diselidiki serta dikaji secara halus dan bijaksana sebelum kita menerimanya bulat-bulat.

Sungguhpun kita telah berjaya memulihkan ekonomi negara, Dr. Mahathir Mohamad telah menyedarkan kita bahawa kita tidak boleh berlapang dada dan merasa lega. Perjalanan kita masih jauh. Tugas kita masih banyak lagi. Kita perlu memakmurkan kembali Malaysia agar ia dapat mencapai taraf negara maju, membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi, dan menjana satu budaya bangsa yang murni, sanggup bekerja keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Kejayaan kita dalam pertembungan antara globalisasi dan kawalan modal adalah satu pencapaian yang boleh kita banggakan, kerana kita, melalui kepimpinan dan kebijaksanaan Dr. Mahathir Mohamad, dapat mengelak daripada menjadi negara penerima Dana IMF. Tetapi kita harus bersedia setiap masa dan sentiasa beringat setiap waktu supaya krisis yang sama, sekiranya datang kembali, boleh ditangani dengan pendekatan dan langkah-langkah yang matang, kreatif dan bijaksana.


Kesimpulan


Dalam kehidupan setiap pemimpin, ada beberapa ketika yang merupakan saat-saat penuh genting, bererti dan bermisteri. Saat-saat di mana seseorang pemimpin membuat keputusan penting yang akan mencorakkan kehidupan bangsanya di kemudian hari. Dr Mahathir Mohamad sudah tentunya telah melalui banyak saat-saat seperti ini dalam masa 22 tahun beliau memimpin negara tercinta. Antara saat-saat seperti ini, 1 September 1998 merupakan saat yang penuh rahmat untuk bangsa Malaysia. Pada tarikh tersebut Dr Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, telah mengambil keputusan berani untuk melaksanakan pelan tindakan unorthodox dan sekaligus menyelamatkan Malaysia.

(15-10-2003)

No comments: