Saturday 12 November 2011

339 SETINGGAN.... MOHON CAMPURTANGAN MB PERAK


TAIPING: Pepatah Melayu ada menyebut lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janjinya. Tetapi lain ceritanya bagi 339 setinggan yang menduduki tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di sekitar Taiping yang mendakwa......

......................menjadi mangsa putar-belit pegawai-pegawai kerajaan khususnya di Pejabat Tanah Taiping kerana masih gagal memiliki lot tanah seperti yang dijanjikan kepada mereka.
Episod duka bermula pada 2008 apabila penduduk diarah untuk mengosongkan tanah masing-masing dan KTMB telah membuat akuan janji dengan mengatakan akan menyediakan rumah mampu milik yang mana dahulu.
Mereka juga diberi pampasan berjumlah RM1,000 untuk berpindah dan sewa rumah berjumlah RM300 sebulan selama dua tahun sehingga rumah milik disiapkan seperti yang dinyatakan dalam surat akaun janji.
Selepas dua tahun berlalu, rumah yang dijanjikan tidak dapat disiapkan lagi dan KTMB akhirnya bersetuju melanjutkan tempoh bayaran sewa bulan kepada setahun lagi, iaitu sehingga Jun 2011.
Setiausaha Badan Bertindak Setinggan Taiping, Ismail Mohamad, 63, berkata selepas Jun, kerajaan negeri tampil menjelaskan bayaran sewa rumah penduduk sehingga September lalu.
“Mulai Oktober lalu, kami tidak menerima lagi bayaran duit sewa rumah daripada kerajan negeri dan janji kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk setinggan KTMB hanya tinggal janji kosong sahaja.
“Ke mana kami harus pergi apabila diarah keluar rumah kerana gagal membayar sewa rumah sedangkan lot tanah yang disediakan untuk rancangan penempatan tersusun (RPT) belum siap 100 peratus selain diragui dari segi jaminan keselamatan kerana terletak di kawasan berpaya dan bekas lombong,” katanya kepada Peraktoday.com.
Yang lebih menyedihkan penduduk ialah sikap pegawai Pejabat Tanah Taiping yang memberi layanan buruk kepada mereka apabila membangkitkan isu terbabit.
Ismail berkata, penduduk dilayan seperti pendatang tanpa izin kerana dihina dan diugut oleh pegawai Pejabat Tanah sedangkan mereka adalah warganegara Malaysia.
“Apabila kami terus membangkitkan isu ini kepada Pegawai Daerah, kami telah diugut dan dimaki hamun oleh segelintir pegawai yang turut memperlekehkan tindakan kami membina rumah di tanah milik KTMB,” katanya lagi.
Tindakan seumpama itu katanya, sangat biadap apatah lagi kebanyakan setinggan yang berurusan dengan pegawai di pejabat itu adalah golongan yang sudah berumur.
Menurut Ismail lagi, menurut perancangan kerajaan negeri, empat RPT akan disediakan bagi menempatkan 339 setinggan KTMB di Daerah Taiping iaitu RPT Pondok Tanjung, RPT Kurnia Jaya Tambahan, RPT Pengkalan Aur dan RPT Larut Ulu.
Bagi menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk berhubung isu itu, lebih 100 penduduk katanya, yang mewakili setinggan Taiping mengadakan demonstrasi aman di hadapan Pejabat Tanah Daerah Taiping, pagi tadi.
Mereka membawa sepanduk yang mempertikaikan kewibawaan Pegawai Daerah, Harun Rawi dalam menyelesaikan masalah setinggan Taiping serta mempersoalkan ke mana perginya peruntukan RM11 juta yang diserahkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk kerja penyediaan lot  dan kemudahan infrastruktur serba lengkap di kawasan RPT.
Penduduk terpaksa mengadakan demonstrasi untuk menuntut keadilan daripada Pejabat Tanah Daerah kerana mereka berjaya menghidu taktik jahat pihak tertentu yang mahu memutar-belit isu pemberian geran tanah dan kemudahan infrastruktur yang disediakan untuk lot RPT.
Puncanya, setinggan diugut akan disingkirkan daripada senarai memiliki lot tanah jika tidak membayar premium RM1,300 dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sebelum itu, pada Mei 2011, kami diarahkan membayar kami duit sukat tanah sebanyak RM680 dan diminta ke Ipoh untuk membuat pembayaran tersebut dengan kenderaan sendiri.
“Selepas itu, penduduk dipanggil ke Pejabat Tanah malah diugut mereka yang gagal membayar dalam tempoh dua bulan, namanya akan disingkirkan,” kata Ismail lagi.
Penduduk, Mat Desa Syaaban, 73, berkata lot tanah yang disediakan oleh Pejabat Daerah Taiping juga tidak diletakkan batu dan tiang sebagai tanda pemilikan walaupun bayaran untuk sukat tanah sudah dijelaskan oleh kira-kira  170 setinggan.
Perasaan kecewa turut diluahkan Mohd Sabri Selimen, 36, yang menetap di Larut Tin sebelum mengosongkan tanah KTMB untuk memberi laluan kepada projek rel landasan berkembar Ipoh-Padang Besar.
Katanya, lot tanah yang ditambak itu diragui dari segi keselamatan dan Pejabat Tanah Daerah tidak mengeluarkan sebarang surat jaminan keselamatan di kawasan berkenaan.
Ibu tunggal yang dikenali sebagai Jamaliah, yang kini tinggal menyewa di Kampung Larut Tin sejak 2008 berkata, beliau diminta menjelaskan RM800 untuk bayaran sukat tanah atau bakal kehilangan lot tanah jika tidak gagal berbuat demikian sebelum akhir tahun ini.
“Lebih mengejutkan saya apabila kakitangan Pejabat Tanah memaklumkan kepada saya untuk mendapatkan juga wang itu dengan apa cara sekalipun kerana ramai di luar sana yang berminat untuk membeli tanah itu kerana harga ditawarkan murah,” katanya yang tinggal bersama lima anaknya dalam rumah sewa yang serba daif.
Tambah Jamaliah lagi, bayaran sewa rumahnya sudah dua bulan tertunggak dan beliau sendiri cukup bimbang memikirkan nasib anak-anaknya yang masih bersekolah kerana bantuan kebajikan RM450 sebulan jauh dari mencukupi untuk menanggung perbelanjaan keluarga.
Beliau yang tidak bekerja dan menghidap lelah dan darah tinggi berharap masalah penempatan setinggan Taiping dapat diselesaikan dengan segera bertepatan dengan gagasan kerajaan Barisan Nasional (BN) Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Penjual air tebu, Nisah Mahsom, 60, pula berkata, akibat kesempitan hidup setinggan di daerah itu, ada pendakwah agama Kristian cuba menghulurkan bantuan dengan menetapkan penduduk membayar hanya RM1 untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan segala perbelanjaan ditanggung.
“Rata-rata setinggan KTMB berpendapatan rendah dan sudah pastinya kami tidak mampu untuk membina rumah di lot yang disediakan tanpa menerima wang pampasan daripada pihak kerajaan.
“Ada di antara penduduk terpaksa meminjam wang dari ceti haram untuk melunaskan bayaran sukat tanah dan premium tetapi sehingga ke hari ini, masalah penempatan kami belum selesai sedangkan bayaran untuk sewa rumah sudah dihentikan pada Oktober lalu,” katanya.
Di akhir perbualan, Ismail selaku wakil penduduk berharap dapat berjumpa dan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan kadar segera kerana tiada jalan penyelesaian ditemui meskipun sudah mengajukan masalah itu kepada Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Abd Khalid.
Penduduk juga katanya, meminta supaya bayaran sewa rumah yang dilanjutkan sehingga lot tanah dan rumah mampu milik disiapkan atau mereka diberi wang pampasan sewajarnya.
Hakikatnya, apabila rakyt di sebuah tempat/kawasan susah... kena tipu.... siapa sebenarnya yang tolong?? Acapkali mereka akan kata KERAJAAN telah menganiaya mereka, KERAJAAN zalim dan tidak bertindak adil.  Mereka tidak tahu.... sebenarnya kerajaan tidak begitu. Mereka mungkin lupa bahawa pegawai kerajaan yang berada di pihak berkuasa tempatan telah tidak menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya. Di dalam jabatan-jabatan kerajaan pun, bukan sikit pegawai-pegawai kerajaan yang menentang dan anti-kerajaan.
Sumber :  Perak Today , Parpu Kari 

No comments: