RIDHUAN TEE JAWAB LIMA FAKTA SJKC SEMAKIN RASIS
LANJUTAN artikel saya minggu lalu, pemberita web ultra kiasu telah menghubungi pemimpin ultra kiasu Melayu untuk mendapatkan pandangan. Ultra kiasu tersebut berkata ia insiden terpencil. Peliknya, sebelas fakta yang dikemukakan langsung tidak dijawab.
Diikuti kenyataan bapa murid tersebut, menyalahkan guru Melayu dan pengelola SJKC mahukan isu ini ditutup. Setuju! Tetapi jangan hanya berlaku sebelah pihak? Ditakdirkan perkara hampir sama berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK), jangan pula heboh 1Malaysia.
Kadangkala, sedih melihat ultra kiasu Melayu, pintu hatinya telah tertutup kerana digula-gulakan dengan pangkat dan imbuhan. Yang baru masuk, berharap dicalonkan menjadi ahli Parlimen dan Adun. Ada yang bercita-cita mahu jadi Menteri Besar dengan memindahkannya ke Ampang.
Pertama, saya mempunyai ramai rakan guru yang mengajar di sekolah Cina. Jarang sekali komen positif yang saya dengar. Kebanyakannya negatif. Ultra kiasu lebih memuji pendidikan Singapura daripada Malaysia. Hujan emas negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Mana satukah yang patut dipilih?
Jika pendidikan kita begitu buruk, takkanlah begitu ramai pelajar kita dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apabila biasiswa JPA dibekukan akibat kegawatan, kecoh 1Malaysia. Belajar sahaja dalam negeri. Kerajaan tengah susah hari ini. Bantu. Balik nanti bukan mengundi BN pun.
Kedua, subjek Bahasa Melayu (BM) dipandang rendah dan tidak penting, tidak membawa mereka ke mana-mana. Kuasa ekonomi China, akan menjadi bahasa Cina lebih penting, bukan BM.
Untuk makluman, silibus BM di semua sekolah tidak sama. Sukatan BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding BM di SK. Apabila ada cadangan supaya BM diselaraskan di semua sekolah, maka seluruh NGO mereka bersatu menentang, dengan alasan, pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM. Penguasaan Bahasa Cina (BC) akan terjejas. Dalam makna, biar jahil BM tidak mengapa, asalkan hebat dalam BC. Di manakah kedudukan BM sebenarnya sebagai bahasa negara jika asyik berkorban?
Ketiga, penting sangatkah BC untuk berhadapan dengan kuasa besar ekonomi China pada masa kini dan akan datang? Ketika Kerajaan China berinteraksi dengan Melaka ribuan tahun dahulu, bahasa apakah yang digunakan kalau bukan BM? Kenapa BM boleh sampai ke tahap lingua franca? Jawapannya mudah! Siapa berkehendakkan kepada siapa? Jika saling berkehendak, pakat-pakat berkorbanlah. Tidak boleh hanya satu pihak sahaja yang berkorban.
Keempat, ultra kiasu Melayu tersebut membawa contoh negeri Kelantan sebagai contoh betapa ramainya pelajar Melayu di SJKC (28 peratus). Ingin saya bertanya, berapa ramai orang Cina di Kelantan? Tidak hairan jika orang Melayu menghantar anak mereka ke SJKC? Selaku negeri Serambi Makkah, orang Melayu ada sebab menghantar anak mereka ke sana. Antara semangat dan keinginan untuk berdakwah dan menyunat yang tidak bersunat. Lagipun Cina Kelantan dan Terengganu berbeza dengan yang lain kerana melalui proses asimilasi.
Anak-anak saya sendiri bersekolah Cina, bukan kerana kuasa ekonomi China, tetapi kerana saya ada misi untuk menyunatkan mereka, seperti yang pendakwah Kristian lakukan hari ini. Tidak hairan, jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Kenapa?
Kelima, saya tidak menolak kata-kata Presiden Pas, bahawa Kristian amat agresif di Asia Tenggara, terutama Alam Melayu, setelah mereka gagal di Barat. Tidak hairan, jika mereka akan lakukan sedaya mungkin, terutama kekuatan material. Pergilah ke kampung Orang Asli, taktik apa yang digunakan kalau bukan dengan wang ringgit.
Saya telah beberapa kali didekati mereka dengan risalah, sebab dia ingat saya belum bersunat sebab saya pun sepet. Dia tidak tahu saya pun ada misi menyunatkan dia. Saya gunakan istilah sepet sebab saya orang Cina, saya tidak pernah mengaku mahu jadi Melayu atau lebih Melayu dari Melayu. Saya hanya berkata benar.
Keenam, saya sudah dicap sebagai pengkhianat, perosak bangsa, anjing dan berbagai lagi kata nista. Ada yang sampai mahu kencing kubur saya. Kencinglah! Saya tidak pernah kisah kemarahan manusia, saya hanya takut kemarahan ALLAH. Jika tidak benar apa yang saya perkatakan, berhujahlah dengan fakta, bukan emosi.
Akhirnya, saya mohon agar kajian ilmiah dilakukan segera. Dengar rintihan guru-guru Melayu yang mengajar di SJKC. Bandingkan layanan guru bukan Melayu di SK. Bagaimana Melayu melayan bukan Melayu berbanding sebaliknya. Jika terlalu takut, bagi dana untuk saya buat kajian. Saya akan laporkan seikhlas mungkin. Jangan bandingkan dengan sektor bisnes. Begitu ramai pekerja Islam yang tidak dibenarkan solat fardu dan solat Jumaat kerana dikatakan membuang masa dan merugikan, kecuali bagi mereka yang memahami. Satu hari ini nanti, kebenaran pasti akan terbongkar. Saya pasrah walaupun dikeji dan dicaci.
* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA
No comments:
Post a Comment