Monday, 8 February 2016

MISTERI LELAKI DI ATAS POKOK CENGAL....


KUALA TERENGGANU - Penduduk Kampung Sungai Pinang, Jalan Kubang Panjang, di sini, gempar melihat kelibat seorang pemuda di atas pokok cengal setinggi kira-kira 50 meter, sejak dua hari lalu.

Difahamkan, lelaki yang berasal dari Kemboja itu berada di atas pokok tersebut sejak lewat malam Khamis lalu, namun sehingga semalam, masih tidak mahu turun dari pokok berkenaan.

Bagaimanapun, usaha memujuk dan menenangkan bapa kepada dua anak itu diteruskan sehingga semalam dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu bersama beberapa penduduk kampung termasuk kenalan dari negaranya.

Menurut sumber, kehadiran pemuda itu di atas pokok terbabit hanya disedari beberapa penduduk kampung sekitar jam 11 malam selepas terdengar suara orang meminta tolong.

“Namun, disebabkan ketika itu cuaca gelap, jadi penduduk kampung mengambil keputusan untuk membantunya kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.

“Tetapi disebabkan dia masih enggan turun walaupun puas dipujuk lebih sejam, penduduk terpaksa menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Punca sebenar lelaki yang bekerja sebagai buruh itu sanggup bermalam di atas pokok sehingga dua malam masih tidak diketahui.

Menurut rakan senegaranya yang turut cuba memujuk memaklumkan pemuda itu takut dan panik hendak turun disebabkan melihat orang ramai berada di kawasan terbabit dan dalam masa sama, pemuda itu mengugut mahu terjun dari atas.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Hairisyam Mat Tahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelmarin, dan seramai sembilan anggota serta pegawai dikerahkan ke lokasi.

“Kita masih meneruskan usaha bagi memujuk mangsa termasuk memberi makanan agar dia turun dengan selamat dan tidak melakukan perkara tidak diingini tetapi sehingga hari ini (semalam), masih tidak berhasil.

“Pihak kami menggunakan pelbagai taktik untuk memujuknya, namun tidak berhasil selain faktor angin yang kuat menyebabkan situasi semakin rumit dan berbahaya,” katanya.

Usaha memujuk pemuda itu masih diteruskan sehingga semalam dengan kerjasama penduduk kampung dan anggota Rela serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

No comments: