Saturday, 14 November 2015

SERANGAN PARIS : MILITAN IS MENGAKU BERTANGGUNGJAWAB, BERI AMARAN 'RIBUT YANG BARU BERMULA'


PARIS: Militan IS yang mengaku bertanggungjawab atas serangan di Paris dalam satu kenyataan memberitahu, Perancis menjadi sasaran keganasan itu adalah sebagai tindakan balas selepas berlaku tentangan terhadap Islam di negara itu selain susulan serangan udara Perancis terhadap wilayah IS.
Antara alasan lain bagi serangan yang berlaku hampir serentak di enam lokasi berbeza di kota Paris itu adalah kerana penghinaan yang sering dibuat ke atas Nabi Muhammad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Perancis itu, militan IS juga berkata Perancis merupakan sasaran utama.

“Kami telah mengkaji lokasi-lokasi serangan dan ia dilaksanakan oleh para pejuang kami menggunakan mesingan dan juga tali pinggang dengan bahan letupan.

"Para pejuang kami memang sudah menyasarkan ‘kota yang penuh kekejian dan penyelewengan’ ini,” kata kenyataan tersebut.

IS juga member amaran, serangan tersebut hanyalah ‘ribut yang baru bermula’.

Serangan ke atas Dewan Teater Bataclan dengan korban sekurang-kurangnya 120 orang adalah salah satu lokasi serangan, susulan serbuan polis bagi menyelamatkan tebusan kumpulan bersenjata di dalam bangunan itu.
Lebih 1,000 orang dikatakan berada di dalam dewan berkenaan ketika itu bagi menyaksikan sebuah konsert oleh kumpulan rock dari Amerika Syarikat, Eagles of Death Metal sebelum kumpulan bersenjata itu menembak secara rambang ke arah penonton. - Awani

Post a Comment