Saturday 21 November 2015

MENTERI BESAR PERAK BAKAL SAMAN ADUN AULONG


Berbanding dengan sidang DUN Perak sebelum ini,  sesuatu yang agak ketara berlaku. Yang kita maksudkan tentulah ‘serangan” bertalu-talu terhadap Menteri Besar  sejak hari pertama sidang lagi.


Kali  ini juga pembangkang seperti merancang dengan  rapi gerakan mereka. Mereka menghala “peluru meriam” ke arah Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir. Isu-isunya mengenai agensi atau melibatkan portfolionya.

Agak ketara juga kita boleh lihat tiga sekawan—Ngeh Khoo Ham (DAP-Sitiawan), Nga Kor Ming (DAP-Kepayang)  dan Nizar Jamaluddin (Amanah-Changkat Jering) mengetuai serangan manakala yang lain-lain ikut membantu.

Bagi empat lagi wakil rakyat PAS isu ditimbulkan menjurus isu-isu rakyat bukan isu yang dicipta semata-mata bagi mencari political mileage.

Walau mereka kekal menyokong bekas tokoh mereka Nizar sebagai Ketua Pembangkang, mereka ada wawasan.

Mereka tidak menyokong pembangkang yang  lain secara membabi buta.

Tidak keterlaluan jika dikatakan disini mereka lebih berminat isu rakyat di kawasan masing-masing.

Malah agak ketara juga pembangkang juga cuba menguji kesabaran Speaker  DUN Perak DS Devamany, yang selama ini terkenal dengan “cool’nya sehingga diberi jolokan Mr.Cool.

Kesabaran itu terkesan apabila tokoh DAP yang paling lantang, Ngeh dihalau keluar dari sidang DUN pada hari Khamis.

Walaupun jika dilihat dari segi kesan serangan, Menteri Besar berjaya menangkis serta mengheret seorang wakil l rakyat DAP ke muka pengadilan. Mereka tidak sunyi menggunakan tektik lapuk menghentam Menteri Besar.

Sehingga kedengaran komen-komen seperti:Ini macam agenda mahu menjatuhkan Dr.Zambry menjelang PRU ke14 (dua tahun lagi).

Bukan saja isu-isu dijaja mengikut selera politik mereka, dengan fakta yang mengelirukan, juga perkataan yang digunapakai oleh Menteri Besar turut diulas. Ini termasuklah perkataan “cognitive bias” yang diucapkannya ketika membentang bajet 2016 pada hari Selasa.

Selain dari itu dua isu dijadikan bahan memburuk-burukkan Menteri Besar. Pertama, mengenai dana dan derma diterima Menteri Besar dan kedua pula mengenai “isu membeli media.”

Terdahulu iaitu pada hari pertama mereka sudah menyerangnya dengan mendakwa MB Inc., satu skandal terbesar ala-ala 1MDB. Begitulah sikap mereka sejak awal-awal lagi. Mereka cuba menimbulkan persepsi negative.

Secara ringkas Ngeh ketika mendakwa MB Inc., sarat bermasalah mengatakan ‘Siapa Penipu Sama Ada Menteri Besar atau CEO MB Inc…”

Ironinya kedua-dua isu selain dibawa oleh Ngeh ,Nga   dan Nizar, juga dijaja oleh beberapa wakil rakyat DAP lain.

Para pemerhati berpendapat pembangkang terpaksa bertindak secara “offensive” kerana mereka secara tiba-tiba dikejutkan dengan serangan kilat dari BN.

Selain dijawab isu-isu seperti MB Inc., dan sebagainya, mereka tidak menjangkakan isu Nizar Jamaluddin yang meninggalkan PAS menyertai Parti Amanah Negara atau Amanah membuatkan rakyat dan pengundi menjadi bosan.

Sebagai reaksi spontan panggilan katak atau lompat macam katak diselit dalam ucapan wakil-wakil rakyat BN.

Di luar dewan, Dr.Zambry tidak terkecuali mengulas isu lompat parti dibuat Nizar.    Bahkan entah angkara siapa kedengaran bunyi katak pada ketika DUN Perak bersidang. DAP menuding jari kepada salah seorang ADUN BN.

Isu Nizar melompat mendapat ulasan didalam dan diluar dewan. Ini kerana suatu masa dulu beliau membidas bekas wakil-wakil rakyat PR yang meninggalkan parti untuk menyokong BN.

Tetapi beliau lupa mereka tidak menyertai mana-mana parti sebaliknya kekal menjadi ADUN bebas berbanding dengan Nizar keluar PAS untuk menyertai Amanah.

Sebelum kita ulas apa yang berlaku semasa sidang DUN Perak Khamis, (hari ke3), kita ikuti kontroversi Nizar sejak melakukan tindakan drastic keluar meninggalkan PAS.

Ketika mengulas mengenai perbuatan Nizar keluar PAS, Dr.Zambry berkata “dia meletakkan dirinya seperti pengkhianat dan menjilat ludahnya sendiri apabila mengambil keputusan melompat parti.”

Katanya lagi,” . . . .ini menunjukkan pemimpin pembangkang itu mengalami masalah kekeliruan pegangan politik. Tindakannya melompat samalah seperti ‘katak’ sebab tinggal parti yang diperjuangkan selama ini untuk bersama parti baru.

"Dulu dia (Nizar) juga yang label tiga ADUN Pakatan yang jadi Bebas sokong BN sebagai katak.

"Sekarang dia pun dah jadi katak. Inilah yang dikatakan jilat ludah sendiri.

“Bayangkan orang yang mereka perjuangkan selama ini kata sesiapa yang melompat parti kononnya adalah manusia yang tidak berprinsip tetapi mereka (DAP) boleh terima orang itu (Nizar) sebagai ketua pembangkang.

“Prinsip mana yang mereka pegang? Mereka telah berbohong dan membutakan mata rakyat,’’ katanya.

 “Dulu mereka kata orang yang lompat parti adalah manusia kotor, tidak bermaruah tetapi hari ini mereka jilat ludah mereka sendiri, saksikan permainan mereka hari ini,” katanya.

Exco Kanan Dato’Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) berkata “ ini bererti beliau telah mengkhianati pengundi yang telah memilihnya atas tiket PAS.

Pembangkang harus membuktikan kepada rakyat mereka adalah golongan yang berprinsip kerana mereka sebelum ini pernah melabelkan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN sebagai pengkhianat.

“Orang pangkah dia (Nizar) sebab PAS. Sekarang dia dah lompat dan bukan lagi PAS. Mengapa tidak letak jawatan…dia cakap tidak serupa bikin

“(Nizar) Dia juga pernah cakap, dua ADUN Bebas itu tidak Islamik sebab tinggalkan Pakatan. Dia pun PAS tapi sudah bertukar” sambil Berjaya . . . “buruk atau tidak akidahnya?”

Perkembangan yang menimpa Nizar juga menyaksikan PAS Perak mendesak Nizar melepaskan jawatan sebagai ADUN Changkat Jering.

Menurut ADUN Semanggol Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan, keputusan Nizar keluar PAS serta menyertai Amanah bertentangan dengan angkat sumpah baai’ah yang dilafazkan di hadapan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Husin.

Menurutnya sudah termaktub dalam perlembagaan parti bahawa mana-mana individu yang keluar parti dan menyertai parti baharu haruslah melepaskan jawatan sedia ada.

Dalam konteks ini, katanya lagi baai’ah  dilafazkan Nizar  dalam keadaan penuh rela tanpa sebarang paksaan.

Bagaimanapun Nizar terselamat apabila PAS bersetuju mengekalkannya sebagai Ketua Pembangkang. Mereka membayangkan lain kali lain pula ceritanya.

Mengulas lanjut Zawawi berkata sejarah memperlihat belum ada mana-mana ahli PAS keluar  parti sejak kes baai'ah  di Kelantan pada  2004.

Masa depan Nizar? Zawawi berkata kemungkinan besar kedudukan Nizar sebagai ADUN Changkat Jering akan tergugat.

Dalam perkembangan semasa, sidang hari ketiga juga menyaksikan beberapa perkembangan menarik. Lazimnya speaker dilihat “tenang” sesuai dengan gelaran Mr. Cool namun sifat itu tadi tercabar tadi.

Ia bermula apabila ADUN Sitiawan dari DAP mempertikai “rulingnya” dengan mendakwa perbuatan Devamany sebagai “tidak adil . . . .”

Peluang diberi speaker kepada  Ngeh  berfikir serta menarik balik tuduhan tetapi tidak dimenafaatkan. Ngeh kemudian diarah keluar Dewan serta merta.

Umum melihat bagaimana sebelum itu situasi menjadi kecoh apabila Ngeh mendakwa kerajaan negeri “mencuri” berbillion ringgit hasil penjualan tanah kepada kroni.
   
Seperti diduga kenyataan Ngeh disanggah wakil-wakil rakyat BN. Dewan jadi sedikit keriohan. 

Mereka mendesak Ngeh menarik balik perkataan “mencuri” yang digunapakai.

Speaker meminta Ngeh supaya bertanggungjawab setiap perkataan diucapkan. Ngeh bersetuju menarik semula perkataan ‘mencuri.’

Ngeh sekali lagi mencetus provokasi apabila meminta masa tambahan dari Speaker kerana dakwanya terdapat gangguan serta mengganggu masa perdebatannya.

Tidak selesai disitu,Ngeh  mempertikaikan kewibawaan Speaker berikutan keengganan membenarkan masa tambahan.

Apabila Ngeh enggan  menarik balik tuduhan, Speaker mengarahkan beliau keluar dewan selama sehari hari.

Ketika ditemui media serta diminta mengulas isu ini, Speaker menyifatkan perlakuan ADUN Sitiawan bertindak mencerca status speaker “adalah amat memalukan dan tidak wajar”.

Speaker menafikan beliau mengamalkan sikap pilih kasih. Lagipun tindakan Ngeh  meminta lebihan masa lima minit adalah tidak masuk akal dan sengaja untuk menimbulkan kekecohan semata-mata.

"Saya dikatakan oleh Ngeh tidak berlaku adil sedangkan mana pernah saya beri lima minit masa tambahan kebiasaannya hanya satu atau dua minit sahaja, tetapi beliau masih berkeras untuk tidak menghormati dewan dengan mempersoalkan kewibaan saya sebagai Speaker.

"Saya bukan marah sebab kandungan perbahasan beliau tetapi perangai beliau yang tidak menghormati Speaker sama sekali, itulah sebabnya saya perlu menggunakan kuasa saya untuk menyuruh beliau keluar dari dewan," katanya.

Itu kisah speaker tetapi lain pula pengalaman Dr.Zambry siang tadi. Lazim kaya dengan senyuman tetapi hari ini wajahnya agak serius,begitulah ketika menemui media.

Kesal dengan tuduhan melulu, beliau akan menyaman ADUN Aulong, Leow Thye Yih kerana membuat tuduhan melulu. "Saya akan saman dia, saya akan jumpa dia di mahkamah, tuduhan ini dah sangat melampau."

Leow Thye Yih dalam dewan dan diluar dewan turut memberitahu media, Menteri Besar menerima derma atau duit daripada pemaju-pemaju tanah di kawasan Lot 24179, PT 88332.

"Jangan ambil perkataan derma ini secara berasingan, memandangkan hal demikian penduduk-penduduk rasa mungkin beliau telah menerima banyak derma daripada pemaju.

“Jika Menteri Besar ingin membuktikan bahawa beliau tidak menerima apa-apa daripada pemaju, beliau patut campur tangan dan membantu penduduk menegakkan keadilan iaitu menukar balik penggunaan tanah ke kawasan tadahan air atau kawasan hijau.

Nga Kor Ming pula  mendakwa kerajaan negeri menggunakan duit rakyat RM20,000 untuk bayaran siaran akhbar. Nga mendakwa pihaknya memperoleh  maklumat itu daripada sumber yang boleh dipercayai.

“Saya nak tanya sendiri kepada Menteri Besar Perak, jelaskan perkara ini kerana sekiranya ia benar, maka ia akan menjadi skandal terbaru bagi kerajaan negeri Perak, bayangkan RM20,000 sehari jadi jika lima hari ianya dah RM100,000.

Dr.Zambry tidak membiarkan isu itu tidak terjawab. Menteri Besar menafi sekeras-kerasnya tuduhan pembangkang. Pembelian ruang atau dikenali dengan panggilan advertorial merupakan amalan biasa  sempena  sesuatu majlis atau program penting.

Tujuannya katanya bagi memastikan sesuatu majlis atau program itu memperolehi liputan meluas supaya orang ramai mendapat informasi yang tepat.

Dr.Zambry berkata adalah  tidak betul pembelian ruang dalam media itu akan menyebabkan pembangkang kehilangan kepentingan daripada segi liputan media.

“Ia memang perkara biasa. Kita beli ruang semasa majlis penting seperti pertabalan, keputeraan Sultan dan ketika persidangan Dewan. Di mana-mana pun sama..di negeri pembangkang juga perkara ini dipraktikkan, di Selangor…di Kelantan,” katanya.

 “Kenapa tanya saya (kenapa wakil rakyat pembangkang tidak ada liputan media)…mereka patut tanya wartawan. Saya bukan boleh tentukan apa yang patut ditulis. Itu hak wartawan.
"Saya ada nampak berita mereka dalam akhbar Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan Bahasa Melayu…semua tuduhan-tuduhan tidak berasas mereka terhadap kita disiarkan..jadi dimana timbulnya soal berita mereka tidak disiarkan," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama Menteri Besar meminta Ngeh “tidak terlalu sensitif dengan perkataan ‘cognitive bias’. Perkataan ini digunakan  semasa membentang Bajet 2016 bukanlah merujuk kepada sikap atau status pemikiran Ngeh ataupun mana-mana wakil rakyat pembangkang.

“Janganlah terlalu sensitif. Saya langsung tidak merujuk kepada dia (Ngeh). Tetapi peribahasa ada kata ‘siapa makan cili, dia terasa pedasnya’,’ katanya.

Terma ‘cognitive bias’ kata Dr.Zambry digunakan merujuk kepada penyakit minda yang dialami seseorang atas kegagalan untuk membuat pertimbangan ke atas semua perkara.

 “Saya gunakan perkataan itu untuk mengajak ahli-ahli Dewan untuk tidak dipengaruhi penyakit minda yang mana mereka langsung tidak mempunyai pertimbangan baik untuk semua perkara. Apa yang saya harapkan adalah untuk mereka membahaskan semua isu dengan cara konstruktif dan objektif,” katanya.

No comments: