Monday, 4 May 2015

AWAS !! 'TAI KAH CHEH' DAN 'AKKA' KONGSI GELAP WANITA REKRUT PELAJAR SEKOLAH PEREMPUAN UNTUK TAMBAH AHLI !!!

 1,300 Wanita Jadi Ketua Kongsi Gelap, Digelar 'Tai Kah Cheh'

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan bahawa seramai 1,300 wanita di negara mengetuai kongsi gelap dan melakukan aktiviti samseng.

Dakwanya, kumpulan kongsi gelap wanita ini menjadikan pelajar sekolah perempuan sebagai sasaran utama bagi menambah ahli kumpulan.
Menurut laporan Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia (UMCPO) yang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, sekurang-kurangnya 12 peratus daripada keahlian kumpulan-kumpulan kongsi gelap adalah daripada golongan wanita.

Pengerusi UMCPO, Datuk A. Balakrishnan berkata kumpulan-kumpulan seperti 36, 21, 24, 555, 303, 04, 08 dan Satu Hati mempunyai golongan wanita sebagai ahli yang memberikan perlindungan kepada pelajar sekolah perempuan dengan mengenakan bayaran.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner, P R Gunarajan mengesahkan bahawa kumpulan kongsi gelap wanita membuat pemantauan di beberapa buah sekolah untuk menambah ahli kumpulan.
“Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan besar dan bertindak sebagai salah seorang penolong kanan.
“Golongan wanita ini mahu dikenali sebagai “tai kah cheh dan akka” (kakak besar) dan pasukan saya sedang memantau aktiviti mereka.
“Pegawai-pegawai di sini sering berhubung dengan pihak sekolah untuk mengelakkan daripada pelajar sekolah perempuan diambil sebagai ahli kumpulan yang baharu,” kata Gunarajan.
Balakrishnan juga menjelaskan pihak polis telah memaklumkan bilangan murid perempuan dan wanita yang menjadi sebahagian daripada kumpulan-kumpulan tersebut.
“Wanita-wanita ini terlibat dalam pergaduhan dan mengugut murid perempuan yang lain untuk membayar yuran keahlian kumpulan itu,” katanya.
Balakrishnan berkata berdasarkan statistik oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jenayah kekerasan yang melibatkan kanak-kanak perempuan dan wanita telah meningkat dan 10 peratus daripada kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk rompakan dan jenayah berkaitan dadah yang dilakukan pada tahun lalu.
Menurut Balakrishnan juga, peningkatan laporan mengenai kes buli wanita menunjukkan bahawa mereka juga boleh bertindak ganas seperti lelaki.
Dalam pada itu, Pengerusi Sektor Swasta Melaka, Jawatankuasa Sumber Manusia dan NGO, Datuk M.S. Mahadevan berkata pihak negeri itu telah memohon bantuan daripada golongan wanita dari pertubuhan bukan kerajaan untuk menangani kes keganasan dikalangan murid perempuan.
Menurut Mahadevan, kumpulan-kumpulan seperti 36, 04, dan kumpulan baharu yang ditubuhkan di Johor Bahru iaitu Sorna Sisters kini aktif mencari keahlian baru.
Mahadevan juga menjelaskan, dia sudah melihat paparan video aksi kumpulan kongsi gelap wanita di beberapa kawasan di Melaka.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata dia telah memberi amaran mengenai keganasan murid perempuan empat tahun lalu.
Menurut Lee, insiden buli dan tindakan ganas yang melibatkan pelajar lelaki dan perempuan baru-baru ini perlu dilihat dengan lebih serius.
“Apa yang membimbangkan adalah budaya keganasan ini semakin membesar dalam masyarakat kita serta institusi pendidikan,” kata Lee.
Bagaimanapun, Lee juga berkata kajian perlu dibuat untuk menentukan jumlah ketua kumpulan kongsi gelap wanita di negara ini.
Sumber : Mstar

Post a Comment