Wednesday 18 March 2015

USTAZ KAZIM BERSARA DARI BERCERAMAH ???

Pendakwah terkenal Datuk Mohd. Kazim Elias membayangkan hasrat untuk berhenti daripada berceramah dalam tempoh terdekat, dipercayai ekoran beberapa isu membabitkan diri­nya sejak kebelakangan ini. 

Dalam program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini semalam, beliau berkata, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang sema­ngat untuk terus berceramah. Sebagai langkah awal ke arah itu, difahamkan beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen. 
Begitupun, buat sementara waktu beliau masih terus menerima jemputan untuk mengadakan ceramah namun dikatakan akan berhenti setelah pembinaan ba­ngunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi, dekat sini yang diasaskannya siap sepenuhnya. Ini kerana, buat masa ini beliau mahu mencari dana untuk membiayai pembinaan bangunan tersebut yang menelan kos kira-kira RM500,000. 
Ditanya sama ada beliau serius untuk berhenti daripada berce­ramah, Mohd. Kazim berkata, beliau akan membuat pengumuman mengenainya. “Apa-apa pun tunggu (pengumuman), Khamis ini,” katanya ketika ditemui selepas program ceramah semalam. Mohd. Kazim dijadualkan menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Padang Astaka, Batu Kurau pada Khamis ini yang akan disiarkan secara langsung di TV1 RTM.
Turut diundang sebagai panel ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin dan program tersebut akan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah. Minggu lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘penglipur lara’.
Sebelum itu, Mohd. Kazim Elias dise­lubungi isu penyebaran surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemi­lihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu forum dengan alasan beliau membacakan riwayat-riwayat palsu. Dalam ceramah semalam, Mohd. Kazim menegaskan, jika beliau berhenti daripada berceramah, Pusat Pendidikan Al Barakah mungkin hanya mampu bertahan dalam tempoh dua tahun sahaja.
Menurut beliau, ini kerana pusat tersebut yang menempat pelajar, orang tua-tua serta anak yatim memerlukan kos besar yang selama ini ditampung hasil daripada sagu hati beliau berceramah, penjualan buku dan sumbangan orang ramai. “Bil elektrik untuk satu blok asrama sahaja RM10,000 sebulan. Jika saya berhenti berceramah, bagaimana saya nak tampung kos keseluruhan pusat ini yang memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan.
“Pusat pendidikan ini tiada tajaan daripada sesiapa. Jika ditutup bermakna hilanglah sekolah pondok yang berjaya menaikkan nama negeri Perak,” katanya. 
Sumber : Utusan

No comments: