Friday 13 March 2015

SIAPA KATA MALAYSIA AKAN BANKRAP KERANA HUTANG LUAR NEGARA TINGGI ???


Kecoh bila dikatkan hutang Malaysia meningkat berkali ganda, ia mengambarkan seolah-olah kesan pentadbiran PM pada hari ini amat boros. RM740 billion mula dimain-mainkan dimedia pro Pakatan tanpa memgemukakan bukti dan penjelasan, yang mana percaya akan telan bulat-bulat tanpa bantahan.




Syukur Alhamdulillah ada insan yang berani untuk menjelaskan  perkara tersebut. Ini adalah penjelasannya tentang hutang luar Malaysia yang rasanya mudah difahami untuk mereka yang membaca artikel ini...

HUTANG LUAR MALAYSIA

Sesiapa sahaja akan berasa takut apabila mendengar perkataan hutang. Apatah lagi jika jumlahnya beratus billion.

Apabila dilaporkan hutang luar Malaysia meningkat tiga kali ganda daripada RM196 bilion kepada RM740 billion, maka ramailah yang membuat anggapan bahawa kerajaan telah berhutang terlalu banyak dalam masa setahun ini.

Kerajaan ‘bail-out’ 1MDB. Kerajaan beli pesawat peribadi. Kerajaan boros. Kerajaan bayar kos basuh rambut isteri PM. Kerajaan itu dan kerajaan ini. Benarkah?

Pertama- apakah yang dikatakan sebagai hutang luar negara?

Ianya merujuk kepada hutang yang diambil di dalam mata wang selain daripada Ringgit Malaysia seperti Euro, USD, Yen daripada bank luar negara, kerajaan luar dan juga institusi kewangan seperti Bank Dunia dan IMF.

(Untuk rekod, Malaysia tidak mempunyai apa-apa pinjaman daripada Bank Dunia mahupun IMF.)

Hutang ini adalah hutang yang bukan sahaja diambil oleh kerajaan, bahkan hutang yang diambil oleh syarikat awam, pihak swasta, dan individu.

Ini bermakna hutang luar negara bukanlah 100% hutang kerajaan.

Kedua- mengapakah jumlah ini naik sebanyak tiga kali ganda?

Ini kerana standard laporan kewangan antarabangsa dalam mentakrif ‘hutang luar negara’ telah berubah.

Jika dahulu ia hanya merujuk kepada hutang luar kerajaan, hutang syarikat awam dan hutang sektor swasta,

Tetapi kini ia turut merangkumi deposit dan hutang yang diambil orang warga asing.

Oleh yang demikian- definisi hutang telah diluaskan skopnya.

Maka tidak hairanlah begitu banyak perkara yang dahulunya tidak dianggap hutang luar negara, tetapi sekarang digelar sebagai hutang luar negara.

Pada 2013 hutang luar negara adalah RM196 billion. Sekiranya standard baru diguna pakai, jumlah tersebut akan menjadi RM696.6 billion.

Oleh yang demikian, kadar kenaikan hutang luar negara Malaysia tidaklah meningkat tiga kali ganda sebaliknya hanya naik 6.9%.
Ketiga- mengapakah kadar hutang ini naik mendadak pada tahun lepas dan bukan tahun sebelumnya?

Ini kerana standard baru tersebut baru sahaja diperkenalkan pada tahun lepas.

Keempat- berapakah peratusan hutang kerajaan, hutang syarikat awam, hutang sektor swasta dan hutang yang diambil oleh warga asing?

Daripada jumlah RM 744.7 billion, 42% adalah deposit dan hutang warga asing, 37% adalah hutang sektor swasta, 10% adalah hutang syarikat awam, 9% adalah kredit pelaburan dan jaminan dan hanya 2% hutang kerajaan pusat.

Peratusan tinggi depositi dan hutang warga asing adalah berikutan permintaan yang tinggi terhadap bon/sekuriti terbitan kerajaan yang digunakan bagi projek pembangunan seperti MRT dan ETP.

Kelima- mengapakah terbitan bon/sekuriti tersebut perlu diambil kira?

Ia bertujuan bagi menilai liabiliti sesebuah negara. Ini termasuklah liabiliti jaminan dan liabiliti sebenar.

Hutang yang diambil adalah seperti hutang 'offshore' kerajaan pusat untuk projek pembangunan ekonomi.

Ini adalah hutang yang ‘real’ dan dikira sebagai liabiliti sebenar- bermaksud kerajaanlah yang merupakan berhutang.

Manakala dalam contoh bon terbitan MRT misalnya, ia diberi jaminan oleh kerajaan. Ini bermaksud hutang ini adalah liabiliti jaminan. Tetapi hutang ini hanyalah bersifat di atas kertas bagi kerajaan.

Ianya begitu kerana yang berhutang adalah MRT..

Analoginya seperti seorang bapa yang menjadi penjamin PTPTN 3 orang anaknya. Dalam mengira kekayaan bersih (net worth) bapa itu, kita perlulah mengambil kira jaminan hutang anak-anaknya.

Tetapi adakah ini bermakna si bapa tersebut benar-benar telah 'kurang kaya' disebabkan jaminan hutang anak-anaknya? Atau kekurnagan kekayaan beliau adalah bersifat di atas kertas?

Begitu jugalah halnya dengan liabiliti kerajaan.

Sebelum ini penilaian liabiliti sesebuah negara adalah dengan melihat liabiliti sebenar.

Tetapi dalam memastikan kewangan sesebuah negara kukuh, liabiliti jaminan juga dimasukan.

Keenam- jadi berapakah hutang luar negara yang sebenar yang melibatkan kerajaan?

Hutang luar negara yang diambil oleh kerajaan pusat hanyalah sebanyak RM16.8 billion iaitu 2% daripada RM744.7 billion.

Ketujuh, adakah kadar hutang luar negara ini tinggi dan merisaukan?

Untuk perbandingan sama ada hutang luar negara Malaysia adalah tinggi ataupun tidak, kita boleh banding bezakan dengan negara-negara lain.

Di Singapura, hutang luar negaranya adalah RM3.13 trillion. Korea Selatan pula adalah RM1.13 trillion. Indonesia, adalah RM927 billion.

Kita juga boleh meneka berapa trillion agaknya hutang luar negara bagi negara seperti UK, Jepun, Germany, Perancis, Brazil, Turki dan lain-lain.

Oleh yang demikian, hutang luar negara Malaysia masih munasabah dan normal.

Saya serahkan kepada pembaca untuk menilai.

Ditulis Oleh :  Mat Rodi


Anda juga perlu tahu bahawa kedudukan hutang luar negara diurus dengan baik....
Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.
Pada akhir 2014, keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan di dalam negeri dan luar pesisir, adalah berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Daripada jumlah tersebut, 97.1% atau RM566.1 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.8 billion atau 2.9% merupakan hutang luar pesisir.
Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55% daripada KDNK.
Selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat antarabangsa mengikut konvensyen standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kedudukan hutang luar negeri Malaysia dikira berdasarkan definisi baharu yang terdiri daripada pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam dan sektor swasta; dan pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin (foreign holders).
Pada akhir 2014, jumlah hutang luar negeri Malaysia berada pada paras RM744.7 bilion atau 69.6% daripada KDNK.
Pada tahun 2013, hutang luar negeri ini mencatat RM696.6 bilion atau 70.6% daripada KDNK. Walaupun jumlah hutang luar negeri meningkat sederhana sebanyak 6.9%, namun peratusannya kepada KDNK adalah lebih rendah berbanding tahun 2013.
Daripada jumlah ini, sebanyak 42% merupakan pegangan sekuriti hutang dan deposit oleh bukan pemastautin; 37% adalah hutang sektor swasta; 10% hutang perusahaan awam; 9% adalah kredit perdagangan dan lain-lain pinjaman serta 2% adalah hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan.
Hutang luar negeri berdasarkan definisi baharu mencerminkan paras pegangan sekuriti hutang dan deposit dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin yang tinggi, yang mencakupi lebih 40% daripada jumlah keseluruhan hutang luar negeri.
Ini adalah disebabkan oleh kedalaman (depth), keterbukaan (openness) dan daya tarikan (attractiveness) yang lebih meluas terhadap pasaran kewangan Malaysia. Pasaran kewangan Malaysia telah berkembang dengan pesat hasil daripada kemajuan dalam liberalisasi sektor kewangan.
Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa hutang luar pesisir bagi Kerajaan Persekutuan adalah kecil, hanya meliputi 2% daripada jumlah keseluruhan hutang luar negeri tersebut.
Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan kekal tidak berubah dan rendah pada paras RM16.8 bilion atau 1.6% daripada KDNK.
Kementerian Kewangan Malaysia
12 Mac 2015

No comments: