Wednesday 4 March 2015

ISU PENGASINGAN KLINIK DAN FARMASI


PENGASINGAN KLINIK DAN FARMASI (Dispensing Separation)

Benar apa yang diperkatakan bahawa ubat-ubatan di farmasi adalah lebih murah dari apa yang di jual di klinik. Selain bayaran khidmat perunding (consultation charges) yang di kenakan, ada sesetengah klinik swasta turut mengenakan bayaran sekitar RM 15.00 - 30.00 untuk setiap kali mendapatkan rawatan. Malah ada klinik langsung tidak mengenakan "consultation charges" kerana kebanyakkan kos dimasukkan dalam pembelian ubat-ubatan.


KEBAIKAN PENGASINGAN

1- Kita ingin mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Maka taraf kesihatan kita juga perlu di pertingkatkan sejajar dengan dasar negara.

2- Dahulunya, kita hanya mempunyai pembedahan am namun pada ketika ini ia telah dipisahkan menjadi neuro-surgery (pembedahan saraf), gastro-surgery (pembedahan radang), vascular-surgery, breast surgery (pembedahan payudara) dan sebagainya. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain. Malah dalam jabatan saya sendiri, nuclear medicine sudah diasingkan dari Radiology dan tidak lama lagi, intervention Radiology juga akan berpisah dengan radiology.

3- Dalam erti kata lain, untuk mencapai penjagaan kesihatan yang baik (good quality healthcare), rakyat perlu bersedia menerima corak perubahan dalam sistem kesihatan negara.

4- Ahli farmasi (Pharmacists) adalah entiti yang cukup penting dalam dunia kesihatan, ini kerana mereka sangat berhati-hati dalam bidang tersebut. Malah para doktor turut memerlukan khidmat nasihat ahli farmasi berhubung perkara yang berkaitan ubat-ubatan kerana itu merupakan kepakaran mereka.

5- Memang benar, ada sesetengah doktor yang menentukan (prescribe) ubat-ubatan di bawah subtherapeutic dose, terutama dalam kes berkaitan paediatric (perubatan kanak-kanak). Maka, khidmat nasihat ahli farmasi sangat penting di sini.

6- Terdapat beberapa kajian yang dijalankan di United Kingdom, menunjukkn bahawa "dispensing separation" (pengasingan antara klinik dan farmasi) akan menyebabkan para pesakit lebih menghargai ubat-ubatan yang diberikan (increased medication compliance) atas faktor kerana kesukaran utk mendapatkan bekalan.

7- Lebih menarik, ia mampu mengurangkan perbelanjaan negara yang mencecah hampir berbillion ringgit disebabkan pembelajaran yang betul (proper drug education and safety of medication to public).

6- Menurut pandangan saya, cadangan untuk pemisahan antara klinik dan farmasi ini adalah merupakan langkah yang baik dan perlu dilihat dalam skop yang luas demi untuk memperbaiki mutu kesihatan negara.

KONTRA PENGASINGAN

1- Yang menjadi isu utama dalam perdebatan ini adalah kos dan pengurusan masa yang efektif (cost & time-effective)  sama ada ia berbaloi dan adil kepada pengguna?

2- Pengasingan antara Klinik dan Farmasi ini, sudah lama di amalkan di dalam klinik-klinik kerajaan. Namun apabila menyentuh kepada sektor swasta, masalah yang melibatkan kos bakal menjadi isu yang diperdebatkan.

3- Perlu di ingatkan bahawa, sektor swasta memainkan peranan yang cukup penting dalam mengurangkan beban tugas kerajaan. Maka kebajikan mereka juga perlu dipelihara.

4- Sekiranya pemisahan ini dilaksanakan, sudah pasti ia akan menjejaskan punca pendapatan utama klinik di negara ini. Maka, sudah pasti bayaran khidmat nasihat (consultation charge) bukan lagi RM 15.00 - 30.00 kerana sudah pasti ia akan meningkat sekitar RM 80.00 - 100.00 untuk setiap temujanji. Persoalannya siapa yang akan menaggung kos tersebut?

5- Setelah memperolehi preskripsi dari doktor, pesakit terpaksa pula pergi ke farmasi untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya terdapat masalah dalam preskripsi/ kehabisan bekalan ubat, pesakit perlu kembali ke klinik asal atau mendapatkan ubat di farmasi yang lain.

6- Bukankah ini akan melibatkan kos dan pengurusan masa yang efektif?

7- Jika pada awalnya saya ada mengatakan bahawa ubat di farmasi lebih murah berbanding klinik namun sekiranya anda melihat kepada senario yang di bincangkan tadi (bayaran khidmat nasihat sekitar RM 100 + mencari farmasi), adakah ianya berbaloi?

8- Tambahan pula, sehingga kini, masih belum ada mana-mana farmasi di negara ini yang beroperasi selama 24jam sebagaimana klinik.

9- Saya juga sangat yakin bahawa pemilik-pemilik juga akan berasa gembira dengan cadangan ini kerana mereka tidak perlu lagi memikirkan tentang pengurusan ubat-ubatan yang rumit. Malah mereka juga akan bebas dari 'medico-legal issue' yang disabitkan berkenaan dengan ubat-ubatan.

CADANGAN

1- Sebelum isu "dispensing separation" timbul, sudah wujud isu mengenai perkhidmatan x-ray di klinik-klinik swasta. Antara perkara yang dibangkitkan adalah pelindungan radiasi (radiation protection) dikalangan kakitangan dan juga pesakit. Malah ada sesetengah kes, disebabkan kualiti paparan x-ray yang teruk telah menyebabkan doctor tersilap membuat pemeriksaan.

2- Ini kerana kakitangan (tidak semua) yang membuat pemeriksaan x-ray di klinik terdiri daripada mereka lepasan SPM yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai perlindungan radiasi. 

Akibat dari itu, perdebatan berlaku agar lesen pemeriksaan x-ray di tarik balik dari klinik-klinik swasta.

3- Namun akhirnya, kata sepakat telah tercapai. Klinik boleh meneruskan perkhidmatan x-ray dengan beberapa syarat :

a. Pastikan klinik berkenaan mempunyai seorang juru x-ray yang bertauliah dengan taraf pendidikan sekurang-kurangnya kelulusan diploma.
b. Pemantauan harus di lakukan oleh pemilik klinik.
c. Pemilik klinik dan juru x-ray berkenaan perlu menghidir kursus-yang telah ditetapkan oleh CME (continuing medical education)
d. Akan ada pemeriksaan berkala dan audit yang dijalankan terhadap klinik-klinik yang berkenaan.

4- Maka saya ingin mencadangan agar pendekatan dan kaedah yang dinyatakan itu diguna pakai dalam isu "pengasingan klinik dan farmasi ini.

5- Isu pokok.

Pharmacists - safe medication to public
Doctors & patients - Cost & time effective
- maka cadangan di atas adalah yg terbaik (win- win situation).

KESIMPULAN

1- Pengasingan klinik dan farmasi ini adalah merupakan satu cadangan yang baik namun untuk merealisasikan cadangan tersebut memerlukan persediaan di kalangan rakyat.

2- Ini kerana apabila negara telah mencapai status negara berpendapatan tinggi, perlaksaan cadangan ini mungkin boleh di fikirkan.

3- Walau apapun kerajaan perlu menyediakan langkah awal (bermula dari sekarang) bagi memastikan negara mampu memberikan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

4- Sebagai contoh Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST (Good and Service Tax) mula di perkenalkan pada tahun 1972 di Malaysia. Namun selepas hampir 40 tahun (setelah ditangguhkan beberapa kali) kerajaan akhirnya bersetuju untuk melaksanakannya. Itupun masih ada sebilangan rakyat yang masih tidak memahami mengenainya.

"Public start becoming educated healthcare consumers in order to get effective and economical healthcare services."

Oleh Dr Aznil Hisham
* Penulis adalah merupakan salah seorang pengamal perubatan di sebuah hospital kerajaan di ibukota.

No comments: