Saturday 14 February 2015

BERITA HARIAN BUAT LAPORAN POLIS ARTIKEL GUNAKAN NAMA YANG SAMA


KUALA LUMPUR: Akhbar Berita Harian (BH) membuat laporan polis susulan penyiaran satu artikel bertajuk "Wajarkah Nik Aziz dikebumikan di tanah perkuburan Islam? - Zainuddin Maidin oleh sebuah laman web menggunakan nama yang sama dengan BH, www.berita-harian.net, hari ini.

BH yang diwakili Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (NSTP), Wan Abdillah Wan Nawi membuat laporan itu di Balai Polis Pantai di sini, pada jam 10.19 malam tadi.

Wan Abdillah berkata, laporan polis dibuat bertujuan membersihkan nama BH, sekali gus mengelakkan timbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang membaca artikel berkenaan.

Katanya, BH menafikan mempunyai kaitan dengan www.berita-harian.net mahupun artikel yang disiarkan oleh laman web itu.

"Laporan ini dibuat berdasarkan alamat laman web berkenaan yang mengambil nama sama dengan akhbar perdana BH, iaitu www.berita-harian.net, sedangkan nama sebenar laman web BH adalah www.bharian.com.my.

"Tindakan ini (laporan polis) juga dibuat kerana BH tidak mahu dikaitkan dengan penyebaran berita tidak bertanggungjawab ini pada saat rakyat Malaysia masih berduka dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, malam semalam," katanya.

Bagaimanapun, Wan Abdillah berkata, akses untuk melayari artikel itu sudah dipadamkan oleh pengendali laman web terbabit sekitar jam 8.28 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. 

No comments: