Wednesday 10 December 2014

UM GANTUNG PENGAJIAN 2 SEMESTER KE ATAS FAHMI ZAINOL DAN 7 YANG LAIN


KUALA LUMPUR – Dua daripada lapan pelajar Universiti Malaya (UM) yang dikenakan pertuduhan mengikut Kaedah-Kaedah UM (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999 telah digantung pengajian selama dua semester.

UM dalam satu kenyataan di sini Rabu menyatakan mereka yang digantung ialah bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM Fahmi Zainol dan pelajar Safwan Shamsuddin.

Selain itu, Fahmi turut dikenakan denda RM600 bagi empat pertuduhan terhadapnya dan Safwan pula dikenakan denda RM300 bagi dua pertuduhan.

Empat daripada pelajar itu dikenakan denda masing-masing RM150 dan amaran keras. Mereka ialah Adam Fistival Wilfrid, Muhamad Khairul Anwar Kamaruddin, Haw Yu Hong dan Nurul Syamimi Munira Mohamed.

Seorang pelajar Abraham Au Tian Hui dibebaskan kerana didapati tidak bersalah bagi dua pertuduhan terhadapnya manakala seorang lagi pelajar Khairol Najib Hashim diberi amaran keras.

Menurut UM, prosiding itu berlangsung semalam dan dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib Pelajar yang terdiri daripada tiga orang ahli akademik kanan universiti.

“Keputusan perbicaraan adalah berkuat kuasa serta merta, bagaimanapun rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan diumumkan,” menurut kenyataan itu – BERNAMA

No comments: