Friday 24 October 2014

HARTA KARUN SULTAN MAHMUD SYAH TIADA DI PULAU NANGKA


JASIN : Kerajaan negeri menamatkan kontrak sebuah syarikat yang menjalankan kerja pencarian harta karun dipercayai milik Sultan Mahmud Syah di Pulau Nangka, di sini, kerana gagal membuktikan bahawa lokasi berkenaan mempunyai harta bernilai berbilion ringgit.

Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang memulakan kerja pencarian sejak Januari hingga April lalu gagal membawa keluar sebarang harta meskipun tempoh pencarian dilanjutkan tiga bulan lagi.


Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Khamis Abas berkata, surat pemberhentian mencari harta karun sudah dikeluarkan kepada syarikat berkenaan pada awal Julai lalu.

Beliau berkata, berikutan itu, sebuah lagi syarikat dijangka memulakan kerja pencarian harta karun terbabit pada awal bulan depan selepas mendapat kebenaran berbuat demikian daripada kerajaan negeri.

“Syarikat baru itu perlu melakukan tinjauan ke Pulau Nangka terlebih dahulu dan membuat keputusan sama ada berminat untuk menjalankan kerja penggalian atau sebaliknya,” katanya selepas meninjau kesan penggalian dilakukan syarikat lama di pulau terbabit, semalam.

Beliau bersama 10 kakitangan PERZIM turut mengadakan gotong-royong membersihkan sampah yang ditinggalkan kontraktor lama di kawasan persisiran pantai pulau itu.

Khamis berkata, PERZIM yang dipertanggungjawabkan ke atas pulau terbabit sentiasa memantau kerja pencarian harta karun sejak awal tahun ini bersama beberapa agensi keselamatan lain seperti polis dan Jabatan Laut.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan alam semula jadi pulau itu seperti batu dan tumbuhan sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh memusnahkannya.