Sunday 8 June 2014

HOKI PIALA DUNIA 2014 : MALAYSIA KALAH LAGI.....


MALAYSIA boleh melupakan sasaran 10 pasukan terbaik pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 selepas kalah 3-2 kepada India dalam saingan Kumpulan A di Stadium GreenFields, The Hague, Belanda, hari ini.
  
Kekalahan keempat itu menyaksikan skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kekal berada di tangga tercorot daripada enam pasukan dalam kumpulan tanpa mengutip sebarang mata.
   
Sebelum ini, Malaysia kalah 4-0 kepada juara bertahan Australia diikuti 6-2 dengan Belgium dan 2-0 kepada England.
   
Pada pertemuan dengan India, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu gol awal namun nasib lebih menyebelahi India apabila pemain Jasjit Singh Kular meledak jaringan pembukaan pada minit ke-15.
   
Tersentak dengan gol tersebut, skuad hoki negara kembali menyusun jentera serangan bagi mencari gol penyamaan namun dihampakan oleh kekentalan benteng pertahanan India sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus melancarkan serangan ke kubu India dan berjaya memperolehi gol penyamaan menerusi jaringan pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-46.
   
Keputusan tersebut tidak bertahan lama apabila Akashdeep Singh menggandakan kedudukan untuk India pada minit ke-49 sebelum meledak jaringan kedua peribadi dua minit kemudian.
   
Malaysia berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi gol padang oleh Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-61 namun gagal untuk menghalang India daripada meraih kemenangan pertama pada kejohanan kali ini.
   
Skuad hoki negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Sepanyol di venue yang sama, Isnin ini. - Bernama

1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.