Monday 12 May 2014

PETISYEN DITOLAK, LUBUK MERBAU KEKAL MILIK BN


PUTRAJAYA 12 Mei :
 
Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau di Perak apabila Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan seorang pengundi untuk membatalkan keputusan PRU13 bagi kerusi itu.
    
Panel lima anggota yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, sebulat suara menolak rayuan Mohd Ridzuan Asit terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan rayanya.
    
Arifin berpendapat tidak terdapat merit tentang isu res judicata dan locus standi Peguam Kanan Persekutuan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya yang dibangkitkan peguam yang mewakili Mohd Ridzuan.
    
(Res judicata merujuk kepada suatu doktrin penting undang-undang iaitu apabila sesuatu perkara itu diputuskan secara kehakiman, maka ia merupakan suatu keputusan penuh. Doktrin ini menghalang perbicaraan semula perkara yang sudah dibuat keputusan dalam bidang kehakiman).
    
Mengenai isu ketiga berkaitan locus standi peguam Chan Kok Keong untuk tampil sebagai peguam yang mewakili Mohd Ridzuan, Arifin berkata Mahkamah Pilihan Raya bertindak betul apabila ia memutuskan bahawa Chan tidak boleh mewakili Mohd Ridzuan kerana tandatangannya tidak terdapat dalam notis pelantikan secara bertulis.
     
Beliau juga memerintahkan Mohd Ridzuan membayar RM15,000 sebagai kos guaman, masing-masing kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Zainun Ali serta hakim Mahkamah Rayuan Azahar Mohamed.
 
Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen pilihan raya Mohd Ridzuan untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau.
 
Pada 23 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Mohd Ridzuan dan mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk membuat keputusan tentang merit petisyen berkenaan.
 
Pada 16 Januari tahun ini, Mahkamah Pilihan Raya sekali lagi menolak petisyen pilihan raya Mohd Ridzuan dan memutuskan bahawa petisyen yang dikemukakannya mempunyai kecacatan dan ini mendorong Mohd Ridzuan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
   
Dalam PRU13, Siti Salmah mengalahkan calon Pas Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan 53 undi.
    
Datuk Abu Bakar As-Sidek mewakili Siti Salmah, manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke mewakili SPR.

1 comment:

Mat Sabu The Best said...

Lain kali letupkan lah Mahkamah Toyol ini.