Thursday 15 May 2014

PAS TIDAK PERNAH PUJUK, DAKWA AHMAD SAID BERBOHONG


Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendakwa beliau bertanggungjawab menghalang lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika krisis politik di negeri tersebut memuncak sejak dua hari lalu.
Beliau juga mendakwa tindakan itu berjaya menghalang PAS daripada memperolehi majoriti di DUN Terengganu dan membentuk pentadbiran baru.

Namun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok dari Pas Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi hari ini mendakwa bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berbohong berhubung dakwaan pihaknya ada memujuk beliau menyertai PAS.

Selepas menafikan dakwaan itu, Dr Syed Azman mendakwa pihak Ahmad Said yang menghubungi PAS untuk menyertai dan menyokong parti itu.

“Ini (dakwaan Ahmad dipujuk sertai PAS) pembohongan semata-mata, PAS tidak pernah sekali-kali berbuat demikian.

“Di kalangan pemimpin PAS memang tiada (tidak pernah menghubungi atau bertemu Ahmad Said).

“Bahkan pimpinan tertinggi parti tidak akan terburu-buru mempelawa Ahmad Said menyertai PAS,” katanya menurut laporan Malaysiakini hari ini.

Drama politik di Terengganu nampaknya semakin panas dengan dakwaan ini. Bagaimanapun jika dilihat perangai PAS yang sentiasa bersikap oportunis dan cuba mengelak dari dituduh, kita boleh agak siapa yang bercakap benar.

Mengulas mengenai hal itu, Dr Syed Azman berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada “pihak” Ahmad sejurus selepas beliau membuat keputusan keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.

“Malah saya mengesahkan pihak Ahmad Said yang berkali-kali (menghubungi pimpinan PAS Terengganu) ‘mempelawa diri sendiri’ menyertai dan menyokong PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN,” kata Dr Syed Azman.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat enggan menyebut individu dan jawatan pihak yang menghubungi dan menerima panggilan itu walaupun diminta untuk mededahkannya.

Sinar Harian hari ini melaporkan Ahmad berkata beberapa anggota PAS berkali-kali memujuk beliau menyertai parti itu bagaimanapun beliau menolak kerana amat menyayangi Umno.

Malah, beliau menegaskan tak mahu bertemu mereka lagi dan mendakwa berjaya menghalang lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika krisis politik memuncak. – MYNEWSHUB.MY


No comments: