Tuesday 21 January 2014

( VIDEO ) - MANIKAVASAGAM CADANGKAN KHALID IBRAHIM LETAK JAWATAN MENTERI BESAR



SHAH ALAM  :   Kegagalan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menyelesaikan isu air di Selangor sehingga diserahkan kepada kerajaan pusat merupakan alasan kukuh agar Menteri Besar itu meletak jawatan.
Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berkata, sudah tiba masanya bagi Khalid berundur dan memberi laluan kepada muka baru supaya pentadbiran kerajaan lebih lancar.
“Berehatlah, kalau mahu tilam dan bantal, saya boleh kasi. Saya jujur. Beliau bagus, saya jarang kritik beliau, tapi ini masanya beliau berehat, mungkin faktor umur…
“Saya rasa sudah masanya untuk berundur dan beri muka baru (jawatan MB). Memang beliau bagus untuk merakyatkan ekonomi Selangor. Tetapi yang lain tidak bagus. Pada saya, ini masanya dia berundur. Beri peluang kepada orang lain, kita cuba.
“Bukan Khalid sahaja pandai, dalam PKR ada yang lebih bagus dan pandai. Kira-kira pun lebih bagus. Walaupun ada yang kata Khalid pandai kira-kira, tapi Azmin dan lain-lain pun pandai kira,” katanya melalui temubual bersama Antarapos.
Khalid sebelum ini beberapa kali mendabik dada dengan berkata kerajaan negeri dibawah pimpinannya berjaya mengumpul rizab lebih RM3 bilion.
Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Khalid dengan berkata ADUN Perlabuhan Klang itu tidak lagi boleh bermegah-megah dengan rizab itu ekoran banyak isu berbangkit yang belum diselesai, terutamanya bersabit isu kebajikan rakyat.
Ketua Biro Pengaduan PKR itu kemudiannya menegaskan kerajaan negeri tidak boleh selalu berselindung di sebalik kuasa Istana seterusnya membelakangkan kepentingan parti.
Terbaru, isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan Khalid sebagai berkata surat pengguguran Azmin telah dipanjangkan ke pengetahuan Istana.
“Jangan kaitkanlah, ini isu parti. PR, kita boleh selesai. Khalid dan pegawai-pegawainya kena faham, perlantikan kita melalui parti apabila menang beliau jadi MB.
“Isu PKNS saya ingat istana tak campur. Ini perkara kecil sahaja. Isu besar mungkinlah, contoh isu agama dan kalimah Allah, mungkin ada… Tapi ini isu kerajaan negeri, takkan Sultan dan istana nak campur. Tak benarlah, pada saya jangan campur isu ini. Biar PR yang putuskan,” jelasnya.
Khalid bagaimanapun hari ini menafikan laporan itu dan berkata kerajaan negeri tidak pernah berbuat demikian.
“Tuanku Sultan tidak terlibat dalam hal ini, kedua jika saya melaporkan perkembangan pentadbiran negeri Selangor, biasanya setiap minggu, saya berjumpa dengan Sultan dan kita mengadap Sultan pada hari Rabu sebelum mesyuarat Exco negeri.
“Dan perkara ini (surat perkenan pengguguran Azmin dari PKNS) tidak diperbincangkan buat masa ini dengan Tuanku Sultan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Pengedaran Buah Limau sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Manikavasagam kemudiannya diminta mengulas keputusan ‘U-Turn’ kerajaan negeri berhubung pengstrukturan semula air di negeri Selangor.
“Yang saya tahu, surat daripada pusat dan menteri diberi kepada MB pada 9 September 2013. Tetapi MB tidak pernah bincang isu (surat) ini dan bawa kepada parti dan mesyuarat Biro Politik serta MPP. Tak pernah cakap (bincang). Baru sekarang cakap dah beri. Surat itu penting. Jika ada perbincangan dari September hingga Disember… Tapi kita semua tak tahu apa kandungan surat itu sama ada nak ambil balik atau tak pernah bawa ke mesyuarat
“Jadi kena bawa hal ini kepada parti, sama ada MPP atau Biro Politik. Tunjuk kandungan surat dan tanya apa keputusan sebab DSAI akan bawa ke Majlis PR untuk buat keputusan. Ini tidak, sendiri buat keputusan dan sudah kalah,” katanya.
Khalid sebelum ini mengumumkan menyerahkan penstrukturan industri air kepada kerajaan persekutuan setelah lima tahun berjuang.
Keputusan itu kemudiannya dikritik pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin PKR sendiri – Antarapos

No comments: