Sunday 26 January 2014

PELAJAR MALAYSIA DI JEPUN TERSANGAT MALU PERBUATAN BAKAR BENDERA


KUALA LUMPUR, 26 Jan – Pelajar-pelajar Malaysia di Jepun kesal dan malu dengan demonstrasi penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memijak dan membakar bendera Jepun di kedutaan negara itu di sini, Selasa lepas.

Perbuatan mereka ekoran Anwar dilarang memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Ahad lepas dan diarah untuk pulang segera atau diusir keluar.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Zed Al Habshee Syed Abdul Hamid berkata berikutan demonstrasi itu, mereka yang berada di negara matahari terbit itu malu untuk bersua dengan penduduk setempat.
“Kami sebagai rakyat Malaysia yang berada di Jepun berasa malu untuk bersua muka dengan penduduk setempat, apatah lagi memulakan bicara atau bertanyakan tentang isu itu kepada mereka.
“Ironinya, selepas insiden itu, kami masih dilayan baik, tidak menerima apa-apa tekanan atau kesan negatif yang secara langsung daripada guru-guru, rakan-rakan mahupun orang Jepun yang lain.
“Malah, stesen televisyen di sini juga masih menyiarkan rancangan tentang tempat-tempat percutian menarik di Malaysia pada minggu sama insiden itu berlaku. Itu yang menyebabkan kami malu,” katanya dalam e-mel kepada Bernama di sini, hari ini.
Zed Al Habshee berkata layanan baik itu menunjukkan rakyat Jepun lebih berfikiran matang dan sentiasa mahu menjaga erat hubungan diplomatic yang dijalinkan dengan Malaysia.
“Dalam masa sama, mereka juga yakin terhadap Malaysia. Itu sebab mereka tenang meskipun tahu ada rakyat kita memijak dan membakar bendera mereka,” katanya.
Pada masa ini, kira-kira 3,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Jepun terutamanya di Kanto (Tokyo) dan Kansai (Osaka) selain Hokkaido, Tohoku, Shikoku dan Kyushu.
Kebanyakan mereka mengambil jurusan kejuruteraan.
Zed Al Habshee berkata tindakan penyokong Anwar adalah kerana mengikut emosi tanpa memikirkan akibatnya kepada masyarakat dan negara.
“Tidakkah mereka fikir usaha ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang melebihi 30 tahun
kini, boleh rosak dan musnah dek kerana tindakan mereka?
“Lagipun, perlakuan sesetengah pihak walaupun hanya segelintir, akan sekaligus melambangkan identiti keseluruhan rakyat di sesebuah negara itu,” katanya.
Dalam insiden itu, kira-kira 30 penyokong Anwar berhimpun di luar Kedutaan Jepun bagi membantah tindakan Jepun menghalang Anwar memasuki negara itu kerana pernah disabitkan kes rasuah pada 1999 seperti yang terkandung dalam Perkara 5.1 Kawalan Imigresen Jepun dan Akta Pengiktirafan Pelarian.

No comments: