Saturday 11 January 2014

AHLI PARLIMEN MENGAMUK AZMIN KENA 'HALAU'


Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid membantah keras tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau berkata jika Khalid mengambil tindakan itu semata-mata kerana ditegur oleh Azmin bersabit bebeberapa isu rakyat maka dia (Khalid) takut pada bayang-bayang sendiri.

"Saya dukacita dan cukup marah dengan pengguguran Azmin Ali ini. Saya cukup tak puas hati.. Apa alasan dia nak gugurkan Azmin? Kenapa tak gugurkan semua sekali?," kata beliau kepada Antarapos. 

Azmin hari ini mengesahkan dirinya tidak dilantik semula sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, namun enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu buat masa ini. 

Perkara tersebut dilihat sebagai kemuncak krisis di antara Khalid dan Azmin, selepas beberapa siri kritikan lantang Timbalan Presiden PKR itu terhadap pentadbiran Khalid.  

Abdullah berkata, Khalid sewajarnya mengambil sebarang teguran Azmin sebagai kritikan membina dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri.   

Abdullah juga merujuk kepada apa yang dianggapnya sebagai sikap 'pelik' Khalid yang mengutamakan bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Hussin bagi mengisi jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri. 

Khalid melantik Faekah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan terbaru beliau melantik bekas peguam itu sebagai pentadbir bagi menguruskan hal ehwal air Selangor. 

"Dia lantik Faekah, (kemudian) dia gugurkan Azmin. Nampak tak relevannya? Dia (Faekah) sebagai seorang peguam, dia tidak berkemampuan dari segi kualiti hal air. 

Kita ada jurutera air, kita ada pakar-pakar air, kenapa tak dilantik mereka ini? Kenapa semua Faekah, Faekah, Faekah? Apa istimewa Faekah ini? Apa hubungan Faekah dengan Menteri Besar sebenarnya ni?," katanya beremosi.

Katanya, pimpinan PKR Pusat juga sewajarnya mengambil serius berkenaan hal ini yang disifatkan sebagai 'pelik' kerana Faekah sentiasa diletakkan sebagai keutamaan dalam hal pentadbiran negeri.   

Sehubungan dengan itu Abdullah mengesahkan Majlis Pimpinan PKR Selangor akan mengadakan mesyuarat malam esok bagi membincangkan kedua-dua perkara tersebut. 

No comments: