Tuesday 10 December 2013

LAMPU ISYARAT BERKABEL PERTAMA DI PERAK DI PASANG DI BOTA

PERAKTODAY-LAMPU

Hampir 3,500 pengguna lalu lintas khususnya dari Felda Nasaruddin, dekat Bota kini boleh menarik nafas lega apabila persimpangan keluar masuk ke kawasan itu dilengkapi dengan kemudahan lampu isyarat berkabel pertama yang dipasang di Perak.

Menurut Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, kemudahan lampu isyarat itu sekaligus melakar sejarah dan kejayaan tersendiri bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ia tidak membabitkan sebarang pemasangan tiang.
“Difahamkan, kemudahan ini adalah yang pertama dipraktikkan di Perak iaitu di persimpangan keluar masuk ke Felda Nasaruddin, dekat Bota, sekaligus menjadi rujukan kepada kawasan dan negeri lain untuk menyediakan kemudahan sama di masa akan datang.
“Bagi saya, ia juga satu pencapaian yang membanggakan dan paling penting, kerajaan negeri dan pemimpin tempatan berjaya membawa perubahan infrastruktur kepada penduduk tempatan yang sebelum ini berhadapan masalah lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kemudahan Lampu Isyarat Berkabel di persimpangan Felda Nasaruddin, dekat Bota, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan Pengarah JKR negeri, Datuk Dr Ir Safri Kamal Ahmad.
Mengulas lanjut, Zainol Fadzi memberitahu kos pemasangan lampu isyarat berkabel itu sekitar RM178,000 dan kemudahan berkenaan juga lebih mesra pengguna berbanding dengan sistem lampu isyarat yang bertiang.
PERAKTODAY-LAMPU-1
“Memandangkan semua kabel berada di atas, maka kerja penyelenggaraan adalah lebih mudah tanpa perlu mengorek jalan, sekaligus melancarkan perjalanan lalu lintas.
“Selain itu, kemudahan ini juga lebih menjimatkan dari segi kos dan saya yakin JKR sedia menimbang untuk menyediakan kemudahan lampu isyarat berkabel di kawasan lain pula selepas ini,” tegasnya lagi.
Dari segi keselamatan pula, kabel yang digunakan katanya, berupaya menampung berat mencecah 50 tan dan agak sukar bergoyang.
Tambahnya, kajian berkaitan keselamatan jalan raya turut dijalankan oleh JKR sebelum memasang kemudahan itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap pengguna.

No comments: