Friday 15 November 2013

SUK JOHOR BUAT LAPORAN POLIS KEBOCORAN DOKUMEN SULIT KERAJAAN


JOHOR BAHRU – Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor diminta menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung cadangan mengubah cuti mingguan daripada Ahad kepada Jumaat.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli berkata tindakan pihak berkenaan yang menyebarkan maklumat itu menerusi laman sosial Facebook merupakan kesalahan serius kerana membocorkan rahsia sulit kerajaan negeri.

“Dokumen berkenaan adalah rasmi dan ia merupakan satu kesalahan serius, bagaimana ia boleh bocor dan siapa yang memboloskannya.

“Saya difahamkan SUK telah memulakan siasatan tentang perkara ini sejak semalam dan kita nak tahu bagaimana dan siapa yang membocorkan dokumen rasmi ini kerana ia di bawah AktaRahsia Rasmi (OSA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor di Istana Besar.

Sejak awal minggu ini, berita tentang pertukaran hujung minggu negeri Johor daripada hari Ahad kepada hari Jumaat berkuatkuasa pada Januari tahun depan mula tersebar di laman sosial tanpa ada sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu oleh kerajaan negeri.

Lebih memeranjatkan apabila gambar dokumen sulit mengenai perkara itu yang dialamatkan kepada SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 turut dimuat naik dalam laman sosial itu bagi menyokong berita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima tiga laporan polis berkaitan perkara itu termasuk daripada SUK negeri Datuk Obet Tawil.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta OSA. – Bernama

No comments: