Saturday 23 November 2013

PEMUDA PAS TOLAK USUL PERTAHANKAN KEPIMPINAN ULAMA'


SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas menolak usul mempertahankan kepimpinan ulama dalam muktamar sayap parti itu semalam kerana perkara tersebut berkaitan soal teknikal dan bertentangan Perlembagaan parti.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, Perlembagaan parti tidak menetapkan sebarang profesion atau kelayakan diperlukan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas.
“Usul ini ditolak kerana masalah teknikal dan tidak berbangkit soal Dewan Pemuda Pas tidak menyokong kepimpinan ulama.
“Kalau usul itu hendak diluluskan, ia memerlukan pindaan Perlembagaan parti dan masih banyak perlu diperbincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Muktamar Tahunan Pas ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Semalam, Muktamar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul supaya Pas pusat memasukkan satu fasal yang memperuntukkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri daripada ulama.
Bagaimanapun, dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas semalam, usul menyokong kepimpinan ulama ditolak kerana ia melibatkan penjawatan dan perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan parti.
Tegas Suhaizan, biarpun usul itu ditolak, Dewan Pemuda Pas akan sentiasa menyokong kepimpinan ulama dan Majlis Syura Ulama untuk menaungi parti itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan beliau sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan berkata, beliau mempunyai kelebihan kerana telah melibatkan diri lebih lama dalam Pemuda Pas berbanding calon lain.
Suhaizan Kaiat yang juga Ketua Pemuda Pas Johor muncul pemenang dalam pemilihan semalam selepas mengalahkan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan peguam, Zulhazmi Sharif –Utusan

No comments: