Tuesday 12 November 2013

BLOGGER PR SEBARKAN FITNAH ADUN PAKA (PAS) SAKIT TENAT



KUALA TERENGGANU – Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tersiar dalam laman blog bahawa beliau dikatakan berada dalam keadaan tenat akibat penyakit kanser hati di tahap paling kronik.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka ketika dihubungi hanya tergelak ketika dimaklumkan mengenai perkara itu dan memberitahu khabar angin tersebut sudah tersebar sejak kempen PRK Dun Sungai Limau.


“Kalau saya sakit tenat, sudah tentu hendak angkat telefon pun tidak boleh. Nampaknya ada pihak yang mahu supaya berlaku PRK lagi selepas PRK Dun Sungai Limau hingga sanggup menyebarkan berita sedemikian.

"Saya tiada kanser hati tetapi sakit hati adalah... (berhubung penyebaran berita tidak bertanggungjawab),” katanya kepada media semalam.

Beliau menegaskan berada dalam keadaan sihat dan sedang mengambil anak dari sekolah ketika dihubungi mengenai perkara itu.

Satiful Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai artikel bertajuk ‘PR bersiap sedia hadapi PRK Dun Paka’ dalam sebuah laman blog bertarikh 10 November lalu.

Dalam laporan tersebut, blogger terbabit memberitahu dia difahamkan Satiful Bahri sedang berada dalam keadaan tenat dan boleh mati pada bila-bila masa akibat penyakit kanser hati tahap empat.

Satiful Bahri memberitahu, walaupun tidak terkejut dengan penyiaran artikel terbabit namun kecewa kerana isu kematian dan sakit seolah-olah dipermainkan lebih-lebih lagi blog terbabit dilihat sebagai pro pembangkang.

Berikutan itu, beliau turut menerima panggilan dan SMS daripada beberapa kenalan yang meminta kesahihan mengenai perkara terbabit.

No comments: