Tuesday 15 October 2013

KERAJAAN VENEZUELA BEBASKAN KREW SAPURAKENCANA


SapuraKencana Petroleum Berhad (SapuraKencana) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Venezuela ekoran pembebasan 36 krew Teknik Perdana, kapal penyelidik SapuraKencana, hari ini.
  
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SapuraKencana, Tan Sri Shahril Samsuddin berkata krew kapal itu ditahan dan dibawa oleh tentera laut Venezuela ke Margarita Island untuk pemeriksaan semasa mereka sedang bertugas di perairan yang dipertikaikan pada Khamis lepas.
   
"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Venezuela kerana memberi perhatian terhadap keselamatan dan kesejahteraan krew, yang terdiri daripada pelbagai warganegara.
   
"Selain itu, kami berterima kasih kepada Kementerian Luar Malaysia kerana pantas memberi bantuan yang akhirnya membawa kepada penyelesaian positif membabitkan petugas dan syarikat kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Teknik Perdana sedang menjalankan kajian dasar laut bagi pelanggannya Anadarko Petroleum USA, yang berkhidmat untuk kerajaan Guyana, apabila kapal itu dinaiki anggota tentera laut Venezuela dan belayar ke Margarita Island.
   
Laporan menyebut perairan di kawasan tempat kajian itu dijalankan oleh Teknik Perdana, berada dalam pertikaian antara kerajaan Guyana dan Venezuela.  MI

No comments: