Monday 12 August 2013

MEJA JUDI DI GENTING AKAN DITAMBAH 100 UNIT LAGI...???

Hiasan

BENARKAH projek RM3,000 juta bagi menaik-taraf "Kota Keriangan" Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, akan turut melibatkan pertambahan 100 meja judi?


Ia adalah sebahagian daripada apa yang telah diuar-uarkan iaitu peruntukan kira-kira RM400 juta daripada keseluruhan bajet bagi pembinaan semula taman tema berkenaan dengan usaha sama syarikat perfileman Amerika Syarikat, 20th Century Fox.

Begitulah apa yang dibayangkan di dalam laporan di bawah tajuk berbentuk soalan - 100 more tables for Genting? yang diterbitkan oleh akhbar The Star menerusi ruangan StarBiz pada 31 Julai lalu.

Laporan berita itu memetik badan penyelidikan CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik taraf resort bersepadunya itu.

Jangkaan tambahan 100 meja judi oleh CIMB Research itu dikatakan berasaskan kepada 1,300 bilik hotel baharu yang bakal dibina dan disiapkan, di bawah pelaburan RM3,000 juta menjelang tahun 2015.

Malah, CIMB Research turut menyebut betapa jangkaannya itu masih dikira kecil atau 'konservatif'.

Genting Malaysia Bhd menurutnya, boleh sahaja menaikkan bilangan meja judi kepada 300 buah jika RWG mahu sandarkan kepada amalan di negara lain yang menetapkan bilangan meja judi kepada kadar tiga hingga lima bilik hotel berbanding sebuah meja judi.

Apa juga bilangannya, dan jikalah benar laporan berita ini, sewajarnya Kementerian Kewangan - pihak berkuasa yang bakal dipohon untuk mendapatkan lesen bagi pertambahan tersebut, menolaknya mentah-mentah.

Kita mungkin boleh menerima hasrat konglomerat berkenaan untuk melabur ribuan juta ringgit bagi meningkatkan lagi taraf resort bersepadunya di sana termasuk kepada taman temanya, tetapi bukanlah dengan turut menambahkan prasarana perjudiannya.

Sungguhpun kita juga tahu betapa perolehan daripada sektor inilah penyumbang terbesar kepada seluruh operasi RWG tetapi 'cukup-cukuplah'. Mohon bawalah ia ke negara lain yang ia turut punya pelaburan di sana.

Perlu diingat, ada sebuah lagi resort di sebuah lagi tanah tinggi yang sudah lama mengidam-idamkan untuk mendapat lesen bagi maksud yang sama, atas alasan kononnya ia tidak akan maju dan setanding RWG jika tidak turut memperolehi lesen berkenaan.

Sekiranya permohonan RWG ini dilayan, sudah pasti menjadi sebab dan alasan kukuh bagi resort yang satu lagi ini untuk menggerakkan usahanya semula yang sudah sekian lama terbantut, bagi memiliki lesen tersebut.

Cukup-cukuplah.

YOPE KEY-DARE,
Kuantan


No comments: