Tuesday 27 August 2013

DJ ERA MOHON MAAF PADA PEMINAT SARAWAK FC


DEEJAY Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif telah membuat permohonan maaf kepada penyokong Sarawak FC dan juara Liga Perdana, Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara Pagi, kira-kira jam 8.38 pagi semalam.


Antara ucapan mereka adalah: "Dengan rasa rendah diri kami, Johara Pagi Era ingin memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata kami. Sejujurnya kami tiada niat untuk menyinggung perasaan penyokong Sarawak FC. Kami sememangnya penyokong tegar Liga Malaysia kita. Sekali lagi dengan rendah diri kami mohon maaf dengan kata-kata kami," ujar mereka bertiga secara bergilir.

Sementara itu, wakil bahagian Astro Radio, Suzana ketika dihubungi Zass menjelaskan, setelah permohonan maaf dibuat pagi semalam, ketiga-tiga penyampai itu tidak dibenarkan beri kenyataan secara personal kepada umum.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr Jake Abdullah dalam satu sidang media berkata, beliau sudah memanggil deejay berkenaan dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham," katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010.

Kenyataan negatif itu dikeluarkan apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu bermain dalam liga yang semua pasukannya adalah 'cap ayam' atau tidak berkualiti.

Deejay itu juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Perdana.

Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka ke Sarawak. - SH

No comments: