Sunday 30 June 2013

SPR SIASAT LEBIH 400 FAIL TAIB MAHMUD


SHAH ALAM : Kes yang mengaitkan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya yang tersebar luas di laman YouTube baru-baru ini, sedang diteliti secara dekat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Badan itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, sebuah pasukan khas melibatkan 10 pegawai siasatannya sedang giat menjalankan siasatan.
 
Sehingga kini, lebih 20 individu yang dipercayai terlibat dan disebutkan dalam video itu, telah diambil keterangan.
 
"Setakat ini, SPRM telah menyemak sekitar 400 fail yang dapat membantu siasatan," menurut kenyataan itu.
 
Mac lalu, negara dikejutkan dengan pendedahan sebuah NGO antarabangsa yang mendakwa ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan rakan perniagaan melakukan penyalahgunaan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.
 
SPRM dalam kenyataan sama juga menafikan bahawa siasatan pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada pihak yang terlibat.
 
"Soal Tan Sri Taib Mahmud tidak bekerjasama tidak timbul.
 
"Memandangkan kes ini melibatkan banyak dokumen dan banyak pihak, kemungkinan siasatan akan mengambil masa untuk diselesaikan," katanya.
 
Menerusi kenyataan media sama, SPRM menegaskan pihaknya sentiasa konsisten dalam menjalankan tanggungjawabnya tanpa mengira latar belakang pangkat dan individu.
 
"... sebagaimana kes-kes yang disiasat sebelum ini, termasuk ahli-ahli politik, SPRM tetap dengan pendirian tidak akan mendedahkan apa-apa butiran siasatan.
 
"Ia selaras dengan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan. Ia hanya boleh didedahkan apabila kes dibawa ke mahkamah."
 
 - Sinar Harian

No comments: