Wednesday 26 June 2013

HUJAN DI KAWASAN JEREBU HASIL PEMBENIHAN AWAN

KUALA LUMPUR : Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan Rabu bagi menangani masalah jerebu berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan di Perak dan Selangor.
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam kenyataan hari ini berkata hujan didapati di kawasan Ipoh, Rawang, Batang Kali dan Kuala Selangor selepas pembenihan dilakukan dalam operasi bermula pada 1.30 petang dan berakhir 3 petang menggunakan pesawatC130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


Bagaimanapun, pesawat Cessna C340A yang dijadual memulakan operasi pada 3 petang terpaksa ditangguhkan kepada 5 petang berikutan masalah ketampakan di lapangan terbang.

"JMM telah melaksanakan operasi pembenihan awan hari ini bagi menangani masalah jerebu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan menggunakan pesawat C130 TUDM dan Cessna C340A," menurut kenyataan itu.

Kawasan sasaran adalah di Ipoh, Rawang, Batang Kali, Kuala Selangor dan Melaka dan pembenihan telah dilakukan pada paras ketinggian 7,000 kaki dan kandungan titisan air didapati tinggi di semua kawasan.

"Selepas pembenihan dilakukan di kawasan Ipoh, Rawang, Batang Kali dan Kuala Selangor, didapati hujan diperhatikan dari pesawat kecuali Melaka," menurut kenyataan itu.

- Bernama

No comments: