Thursday 13 June 2013

AZIZAN MASIH DI ICU, SEDAR DAN MINTA SURATKHABAR


ALOR SETAR 13 Jun - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak masih menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) namun keadaannya semakin stabil.


Bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Helmi Khalid berkata, Azizan telah sedar namun tidak sepanjang masa kerana perlu berehat.

"Dua hari lalu Azizan ada minta surat khabar untuk dibaca dan kami pun bagi dia baca surat khabar yang mana ada di HPP.

"Hari ini juga dia sedar, keadaannya semakin baik dan dia akan menjalani rawatan sehingga benar-benar pulih," katanya ketika dihubungi Utusan Onlinedi sini hari ini.

Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri dimasukkan ke HPP selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Azizan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Fazillah Mohd Ali yang juga sepupunya dengan majoriti 2,774 undi.

Bagaimanapun, Azizan terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Mukhriz berikutan kekalahan pakatan pembangkang negeri kepada BN pada pilihan raya umum itu. - UTUSAN ONLINE

No comments: